PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata, pelantikan tersebut bagi membolehkan tokoh pemimpin itu berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu-isu ASEAN dan serantau.
“Lantikan Thaksin itu adalah atas dasar hubungan dua hala yang cemerlang antara Malaysia – Thailand.
“Oleh itu, saya setuju untuk melantik Thaksin sebagai penasihat peribadi saya (anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia).
“Beliau akan bersama dalam satu pasukan anggota dari negara-negara ASEAN dalam satu struktur tidak rasmi,” katanya.
Anwar berkata, beliau berterima kasih kerana Thaksin bersetuju dengan pelantikan itu sekali gus dapat memanfaatkan pengalaman negarawan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan dua hala yang baik dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin yang berjaya menghasilkan banyak kemajuan bersama antara Malaysia – Thailand.
“Pertukaran kunjungan di Bangkok, Phuket, Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang sebelum ini telah mencatat rekod hubungan dua hala yang luar biasa dan belum pernah berlaku sebelum ini.
“Malah, kemajuan besar dapat dilihat dalam penjajaran jalan raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Sadao serta pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang dengan Sungai Golok di Thailand,” katanya.
Katanya, kerjasama itu juga banyak menyelesaikan banyak isu seperti pengurusan air dan mitigasi banjir di Sungai Kelantan, Sungai Golok, serta kawasan selatan Thailand dan utara Malaysia terutama di Kelantan dan Terengganu. – UTUSAN