PETALING JAYA: Pengendali Thailand, Masatada Ishii mengakui gembira dapat memastikan tiga mata menjadi milik mereka selepas menewaskan Malaysia 1-0 dalam aksi Piala ASEAN 2024 di Stadium Rajamangala, Bangkok, kelmarin.
Thailand menguasai permainan tersebut bagaimanapun jurulatih dari Jepun itu mengakui masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan kejohanan.
“Dengan tiga mata malam ini (kelmarin) kami sangat gembira. Semua pemain berusaha keras untuk 90 minit dan pemain gentian melakukan tugas mereka dengan baik.
“Satu perkara yang kami lihat adalah peluang yang dicipta tidak seperti yang kami mahukan namun kami teruja untuk aksi seterusnya,” katanya.
Juara bertahan itu mengekalkan rekod kemenangan selepas membelasah Timor Leste 10-0 pada 8 Disember lalu dan mereka di jadual menentang Singapura di tempat lawan, Selasa ini.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan Suphanat Mueanta mahu rakan sepasukan memperbaiki segala kesilapan dalam aksi seterusnya.
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan semua pemain membantu dalam pasukan dan terima kasih kepada rakan sepasukan untuk persembahan ini dan juga anugerah yang saya terima.
“Selepas ini banyak perkara yang perlu dianalisa memandangkan banyak kesilapan dilakukan jadi kami perlu belajar daripadanya,” katanya.-UTUSAN