KUBANG PASU: Thailand terus menjadi pilihan rakyat negara ini untuk bercuti terutama pada musim perayaan dan cuti persekolahan yang bermula kelmarin.
Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Padang Terap dan ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini mendapati berlaku kesesakan ketika orang ramai mula menghala ke negara gajah putih itu sejak awal pagi.
Selain ratusan kenderaan persendirian, kesesakan turut melibatkan kenderaan awam termasuk bas ekspres dan van pelancongan. Difahamkan kesesakan berlaku sejak pukul 6 pagi ketika pintu sempadan mula dibuka kepada pengunjung untuk urusan dokumen masing-masing.
Menurut seorang daripada pelancong, Aziz Ali Amran, 35, mereka sekeluarga memilih Hatyai untuk bercuti sempena cuti persekolahan kali ini kerana ia lebih berpatutan.
“Bajet tidak berapa banyak jadi kami empat beranak pilih ke Hatyai sahaja untuk tiga hari dua malam. Belanja tidak banyak sangat, hotel pun kalau RM100 sudah boleh dapat tiga empat bintang. Makan murah pula. Saya sediakan kurang dari RM1,000 sahaja untuk semua perbelanjaan tetapi selalunya tidak habis pun.
“Tetapi kesesakan itulah yang jadi masalahnya. Kami sengaja keluar lambat ingatkan orang sudah tidak ramai tetapi meleset. Jenuh juga beratur,” katanya yang berasal dari Perak.
Seorang lagi pelancong, Tan Mei Lai, 40, berkata, mereka tiga beranak memilih untuk beriadah di Hatyai selama empat hari sempena musim perayaan ini.
“Hujung tahun baru sempat nak bawa anak pergi bercuti dan paling murah dan senang ke Hatyai sahajal ah. Kalau nak pergi tempat lain, banyak makan belanja.
“Bukan tidak mahu bercuti dalam negara tetapi Thailand lebih murah dan menarik. Orang-orang sana pun layan dengan lemah lembut, muka manis-manis semua. Keramahan mereka itu patut orang kita contoh,” kata pelancong dari Pulau Pinang ini.
Dalam pada itu, seorang daripada ‘transporter’ bermotosikal yang hanya ingin dikenali sebagai Lan, 35, berkata, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM500 sehari untuk membawa pelancong ke imigresen Thailand di Danok ketika musim cuti ini.
“Kesesakan mula berlaku sejak Jumaat lepas dari pukul 6 pagi sehingga tengah hari. Selalunya hari biasa pelanggan saya cuma lima enam orang sahaja tetapi cuti sekolah ini dapatlah 30 hingga 40 orang.
“Sekarang ramai tidak suka bawa kereta masuk Thailand sebab sesak. Mereka letak kereta di Kompleks Darul Qiyyam dan sewa kereta atau motosikal bawa ke sana lebih senang. Satu kepala kami ambil RM15 saja hantar sampai ke sempadan Danok,” katanya.
Tinjauan juga mendapati perkhidmatan penghantar itu semakin digemari ekoran penutupan Kompleks Bebas Cukai yang menjadi tempat meletak kenderaan sebelum ini bagi memberi laluan kepada projek pembesaran jalan di lokasi berkenaan. – UTUSAN