TH larang promosi visa mujamalah

TH larang promosi visa mujamalah

Ketua Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) melarang Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mempromosikan visa mujamalah di semua platform. 

 

Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, PJH tidak dibenarkan untuk mempromosi visa mujamalah kerana tidak ada ketentuan dalam mendapatkan visa tersebut.

 

“Cuma yang tentu adalah visa yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Malaysia adalah (sebanyak) 31,600, itu (sahaja) yang pasti.

 

“Tetapi visa mujamalah tidak ada kepastian (mengenai) berapakah (jumlah) yang akan diberikan dan siapakah akan dapat (visa tersebut). Maka lebih baik PJH tidak mengiklankan visa itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ke-3 (KHUP 3) di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.

 

Visa mujamalah ialah visa yang dianugerahkan setiap tahun oleh Kerajaan Arab Saudi kepada orang-orang tertentu serta individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat serta kementerian-kementerian yang sama dengannya di Malaysia.

 

Mengulas lanjut, Mohd. Hisham berkata, antara sebab PJH tidak dibenarkan untuk melakukan promosi adalah bagi mengelak masyarakat terpedaya dan tertipu.

 

“Visa ini selalu di salah gunakan, dia (syarikat pelancongan) dakwa ada visa haji tetapi sebenarnya tiada hingga menyebabkan jemaah haji terkandas sama ada di lapangan terbang atau di luar Malaysia, perkara ini akan menyusahkan orang ramai.

 

“Jadi, oleh sebab itu kita berharap apabila mereka (bakal jemaah) memilih PJH, mereka tidak akan tertipu.

 

“Banyak syarikat lain yang memberi iklan atau membuat promosi (berkenaan perkara tersebut), itu adalah sebenarnya menyalahi Akta Tabung Haji 1995 kerana mereka tidak dilesenkan (oleh TH) dan ada kemungkinan besar rakyat tertipu,” jelasnya.

 

Tambahnya, masyarakat diminta untuk membuat laporan kepada TH sekiranya melihat iklan mengenai visa mujamalah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya