KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyediakan stok makanan dan barangan keperluan mencukupi sebagai persediaan menghadapi kedatangan gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku dari 8 hingga 14 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, walaupun banjir belum surut sepenuhnya, persediaan untuk menghadapi risiko banjir yang lebih buruk telah dilakukan.
Katanya, semua barangan keperluan dan makanan di 155 pengkalan hadapan dan 10 mini depo ditambah dari semasa ke semasa untuk menampung keperluan mangsa banjir di Terengganu.
“Insya-Allah dengan persiapan rapi dan simulasi yang pernah dilakukan di setiap daerah, kita bersedia dengan kemungkinan impak banjir yang lebih teruk tidak lama lagi.
“Selain daratan, penduduk di pulau-pulau pelancongan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian juga sudah mempunyai bekalan barangan keperluan dan makanan yang mencukupi hingga Mac depan.
“Kerajaan negeri juga sentiasa berlapang dada untuk menerima sebarang cadangan penambahbaikan untuk memastikan kelancaran bantuan kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Ditanya mengenai anggaran kerugian infrastruktur akibat banjir kali ini, Hanafiah berkata, kerajaan negeri masih menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Memang ada laluan terjejas seperti jalan Kenyir ke Felda Aring namun JKR akan melaksanakan proses baik pulih dalam masa terdekat,” katanya.
Pada tahun ini, sebanyak RM11.27 juta telah disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Terengganu untuk membuat persiapan banjir termasuk peruntukan kecemasan luar jangka, risiko banjir dan penyelenggaraan kolam takungan banjir.-UTUSAN