Malaysia antara negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi di dunia. Seluruh rakyat Malaysia mesti memahami dan bertanggunggung jawab dalam menjaga kelestarian kepelbagaian biologi negara.
Kefahaman dan penghayatan mestilah bermula daripada sekolah.
Justeru itu, melalui Kementerian Pendidikan, kerajaan telah memberikan tumpuan berkaitan kepelbagaian biologi dengan memasukkan dalam kurikulum tajuk-tajuk asas sains alam semula jadi dan peranannya dalam masyarakat.
Sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berusaha secara berterusan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu menerapkan tajuk-tajuk berkaitan kepelbagaian biologi dalam kurikulum sekolah.
Usaha pembelajaran dan penghayatan berkaitan alam semula jadi juga merupakan suatu usaha berterusan yang bermula sejak peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah rendah.
Penekanan kepada pendidikan alam semula jadi mesti melalui aktiviti secara amali.
Kefahaman dan penghayatan yang berkesan tentang alam semula jadi boleh berlaku melalui kemahiran sains yang melibatkan proses sains yang teratur. Satu contoh mudah dalam memberikan pendidikan dan penghayatan kepada pelajar berkaitan kepelbagaian biologi adalah menggunakan persekitaran sekolah seperti mengadakan taman sains, taman dapur atau menanam pokok yang boleh menarik burung-burung atau serangga seperti rama-rama, kupu-kupu dan serangga nokturnal lain.
Projek burung taman misalnya dapat mengajar banyak perkara berkaitan sains semula jadi, kejuruteraan dan matematik yang biasa dilihat.
Melalui pemerhatian burung yang hinggap pada pokok cheri daripada awal pagi hingga ke malam pelajar dapat belajar mengenai kelakuan burung, bunyi yang khas bagi spesies berbeza, jenis makanan, masa mencari makanan, hubungkait sifat burung dengan jenis makanan, serta persaingan menggunakan habitat dan pemilihan makanan.
“Kelab Burung Taman” boleh diwujudkan di sekolah untuk membangunkan minat pelajar kepada alam semula jadi, memupuk semangat cintakan alam semula jadi, menjadikan hobi sebagai peluang pekerjaan dalam eko-pelancongan, fotografi dan penulisan artikel disamping melatih pelajar berfikir secara saintifik membantu menarik minat pelajar dalam bidang STEM dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional TVET. – UTUSAN
Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden, Persatuan Ekologi Malaysia.