DUNGUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kerugian kira-kira RM3.2 juta selepas balai dan pondoknya rosak dalam kejadian banjir serta ribut di 42 lokasi di seluruh negara pada Monsun Timur Laut (MTL), setakat ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.5 juta kerugian melibatkan kerosakan premis berkenaan setelah dilanda bah di 32 lokasi.
Menurutnya, kerugian akibat kerosakan bahagian bumbung dan siling di sembilan lokasi berikutan kejadian ribut dalam tempoh MTL itu dianggarkan RM559,000.
Katanya, sebuah balai polis turut dilaporkan mengalami kerosakan teruk sehingga kerugian mencecah kira-kira RM200,000 setelah ditimpa pokok dalam bencana tersebut.
“Ini (kerugian) yang ada sekarang, mungkin akan ada penambahan lagi kemudian, macam di Kelantan itu, ada balai mengalami kerosakan teruk dan tak diselamatkan sebab air naik cepat.
“Setakat ini, Kelantan banyak (kerugian), habis rosak peralatan, komputer dan dokumen-dokumen,” katanya selepas melawat Balai Polis Kuala Jengai di sini yang terjejas banjir di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Ayob Khan turut menyampaikan bantuan kepada 12 anggota dan kakitangan PDRM yang bertugas di balai tersebut.
Beliau berkata, PDRM sedia mengatur gerak kekuatan dari negeri-negeri yang tidak terlibat banjir sekiranya keadaan mendesak apabila berlaku banjir luar jangka di beberapa negeri.
Katanya, setakat ini, kekuatan anggota PDRM yang berada di negeri terjejas banjir masih mampu mengawal keadaan banjir yang berlaku ketika ini.
Tambahnya, segala persiapan dan strategi juga telah diperkemaskan bagi berdepan dengan bencana banjir ini.
“Kita PDRM dah siap sedia, insya Allah kita dapat menangani isu (banjir) ini, kalau ada gelombang seterusnya,” katanya. – UTUSAN