PUTRAJAYA: Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu digunakan dalam pengurusan bandar raya dengan lebih meluas bagi mengelak kesan negatif terhadap sesuatu pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, teknologi ini membolehkan komputer dan mesin melaksanakan tugasan yang dapat membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskan pelbagai aspek perbandaran.
Beliau berkata, pada masa ini, tanpa sedari elemen-elemen perbandaran menjana pelbagai jenis data seperti trafik, kualiti alam sekitar atau cuaca.
“Melalui pengumpulan data yang berstruktur dan bersepadu, ia boleh menghasilkan pelbagai jenis analisa untuk membantu pihak pengurusan membuat keputusan yang tepat.
“Malah, data-data ini juga dapat digunakan untuk membuat ramalan keadaan bandar sebagai amaran awal terhadap kemungkinan berlakunya kesan negatif terhadap sesuatu pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Digital Putrajaya Exhibition & Conference (DIPEC 2024) dan Peluncuran Putrajaya Urban Observatory (PUO), di sini hari ini.
Katanya, pembangunan pesat sedikit sebanyak memberi pelbagai kesan sama ada kepada alam sekitar atau kesesakan jalan raya sekali gus memberi kesan positif kepada rakyat.
Sebagai contoh, katanya, Perbadanan Putrajaya (PPj) membangunkan Putrajaya Urban Observatory (PUO) iaitu platform digital Data Raya khusus bagi membolehkan pengumpulan, perkongsian data dan analisis terhadap data-data perbandaran.- UTUSAN