Tekad, restu guru tingkatkan prestasi pelajar SMK Jalan Reko

Tekad, restu guru tingkatkan prestasi pelajar SMK Jalan Reko

SUASANA pilu seorang pelajar mohon restu guru SMK Jalan Reko Kajang di ELMU baru-baru ini -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Juraian air mata dan suara menangis teresak-esak bagai menceritakan rasa hati pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko (SMKJR), Kajang yang beriltizam untuk menaikkan peratusan kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024.

Perilaku mereka bukan satu babak cerita drama tetapi itu pernyataan ikhlas daripada hati yang terbuku dengan tekad untuk meningkatkan prestasi akademik sekolah tahun ini. Pelajar dan guru saling berpelukan penuh hiba sambil berbisik dengan suara tersekat-sekat yang mereka sahaja mendengarnya. Doa yang diaminkan sambil tangan ditadah memohon harapan supaya tekad dan impian dimakbulkan.

Ketua Pelajar SMKJR, Muhammad Afiq Jazli Nazeri berkata, mereka bertekad untuk meningkatkan prestasi akademik sekolah tahun ini.

Menurutnya, majlis mohon restu yang diadakan memberi kesan positif termasuk kesedaran kepada para pelajar tentang pengorbanan yang telah diberikan oleh guru-guru mereka.

“Majlis ini memberi kesedaran kepada semua pelajar bagaimana mereka akan mengenang balik segala usaha dan pengorbanan yang guru-guru dah berikan.

“Mereka yang banyak beri pengorbanan dari segi masa, tenaga, dan fizikal untuk kami semua dalam kecemerlangan SPM tahun ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Salam Restu SPM 2024 di Kajang baru-baru ini

Timbalan Ketua Pengawas 2 dan juga atlet silat tahap Pra-SUKMA, Izznur Hadiff Iman Izzuddin berkata, cabaran terbesar dalam hidupnya adalah untuk mengimbangi antara akademik dan sukan.

Bagitu juga dengan atlet Taekwondo SUKMA Kedah, Muhammad Irham Faizin Othman yang turut berkongsi cabaran antara tumpuan kepada sukan dan masa untuk akademik.

“Saya membuat persediaan untuk SUKMA selama dua tahun. Menyebabkan saya tidak hadir ke sekolah selama sebulan setengah kerana bertanding.

“Saya hanya pergi sekolah untuk menjawab peperiksaan akhir sahaja tetapi dengan bantuan guru dan rakan-rakan. Tetapi saya yakin mampu buat yang terbaik untuk SPM yang akan datang.” katanya.

Sementara itu, wakil atlet berbasikal Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Muhammad Amirul Asyraf Mohd Asha’ari berkata, dia berjaya mengimbangi masa antara latihan dan akademik.

“Saya bahagikan masa, contohnya, pada waktu pagi saya belajar sampai pukul 2 atau 3 petang. Kemudian, pukul 4 saya keluar untuk menjalani latihan sehingga pukul 5 atau 7 malam,” katanya.

Namun, dia juga mengakui cabaran yang dihadapi dalam membahagikan masa antara sukan dan belajar.

“Kalau kata tidak ada halangan, itu bohonglah. Mesti ada, seperti kekurangan bahan belajar. Hendak kata tidak hendak, kena kumpulkan masa semula. Kadang-kadang, sebab perlumbaan, saya terpaksa ponteng sekolah. Tapi biasanya ada surat daripada Wilayah untuk urusan ini. Jadi, saya cubalah bahagikan masa dengan baik,” jelasnya.

Pelajar yang merupakan atlet memanah peringkat antarabangsa, Khairunnisa Einsyirah Mohd. Khairuddin turut menyasarkan 9A dalam SPM tahun ini.

“Masa Tingkatan 4, saya pernah mewakili sekolah dalam sukan bola jaring hingga ke tahap Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD). Waktu itu, saya banyak tertinggal pembelajaran kerana lebih fokus pada latihan. Walau bagaimanapun, saya berusaha untuk catch up semula kerana cita-cita saya ingin menjadi seorang peguam.

 

“Cikgu saya turut memberikan kata semangat yang saya masih ingat hingga ke hari ini, iaitu saya kuat kerana mampu duduk dalam kelas tanpa terpengaruh dengan perangai buruk orang lain dan kata-kata itu memberi saya motivasi untuk terus belajar dengan baik,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor Enforcement, Leadership & Management University (ELMU), Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, sebagai institusi pengajian tinggi yang memfokuskan kepada bidang penguatkuasaan, kepimpinan, dan pengurusan, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip integriti dalam setiap aktiviti di kampus.

 

 

“Integriti adalah prinsip kehidupan yang kami ingin kongsi dengan warga SMKJR pada hari ini, iaitu sebagai asas yang membentuk sifat-sifat terpuji dalam diri manusia.

“Antara sifat tersebut ialah amanah, jujur, ikhlas, berdedikasi dan beriltizam dalam kata dan perlakuan,” katanya ketika merasmikan Majlis Salam Restu SPM 2024 tersebut baru-baru ini.

Universiti berkenaan turut menyampaikan kelengkapan alat tulis sebagai pemangkin semangat kepada calon SPM.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN