Teater Muzikal PERMATA Seni: Pentas anak seni bersinar

Teater Muzikal PERMATA Seni: Pentas anak seni bersinar

FADHLINA Sidek (tengah) bergambar bersama para pelajar selepas Pementasan Teater Muzikal PERMATA Seni 2024 di Auditorium Perdana, Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pementasan Teater Muzikal PERMATA Seni yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menjadi medan persembahan anak-anak Program PERMATA Seni yang dianugerahi bakat luar biasa serta potensi gemilang dalam bidang seni.

Pementasan Teater Muzikal PERMATA Seni berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Teater Muzikal PERMATA Seni menggabungkan seramai 168 peserta daripada tiga komponen iaitu PERMATA Seni Koir (PSK), PERMATA Seni Tari (PST) dan PERMATA Seni Muzik (PSM).

Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, teater itu dianjurkan sekali dalam tempoh dua tahun bagi menyerlahkan bakat dan keterampilan kanak-kanak khusus dalam bidang seni dan budaya.

Kata beliau, konsert ini menjadi penentu kepada perjalanan bakat dan keterampilan anak-anak Program PERMATA Seni yang melalui tempoh latihan intensif selama setahun sebagai persediaan untuk merealisasikan potensi seni mereka.

“Pementasan teater muzikal ini merupakan wadah terbaik untuk memanifestasikan ilmu dan kemahiran anak-anak PERMATA Seni dalam bidang koir, tari dan muzik.

“Acara yang dinanti-nantikan oleh peminat setia Program PERMATA Seni dan diharapkan dapat mengubat kerinduan mereka sekali gus menyajikan persembahan luar biasa daripada anak-anak PERMATA Seni yang penuh inspirasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pementasan teater yang bertemakan ‘Mensyukuri Nikmat Kedamaian’ menggambarkan solidariti anak-anak PERMATA Seni terhadap isu-isu kemanusiaan global yang memberi impak besar kepada kehidupan sosial, mental, dan fizikal kanak-kanak di seluruh dunia.

Turut hadir bagi memeriahkan lagi pementasan teater ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Tan Sri Abd. Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Program PERMATA Seni merupakan program khas di bawah tadbir urus Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan oleh JKKN dan Istana Budaya.

Kewujudan program PERMATA yang merangkumi tiga komponen iaitu koir, tari dan muzik bertujuan melahirkan modal insan seni budaya yang akan menjadi pewaris kepada legasi seni Negara.

Program PERMATA Seni yang dilancarkan pada tahun 2010 memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang menunjukkan bakat luar biasa dan potensi tinggi dalam bidang seni.

Program ini menyasarkan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun untuk Seni Tari dan Seni Koir, serta tujuh hingga 14 tahun untuk Seni Muzik.

Mereka yang terpilih akan diberikan latihan intensif dan pendedahan yang membolehkan mereka mengasah bakat, memperkembangkan kebolehan ke tahap yang lebih tinggi dalam dunia seni.

Tambah Mohd. Amran, pihaknya berusaha memastikan setiap peserta Program PERMATA Seni menerima sijil pengiktirafan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau diploma sebagai langkah untuk memperkukuhkan lagi Program PERMATA Seni.

“Ini bukan sahaja memberi mereka peluang untuk memenuhi keperluan industri hiburan negara, tetapi juga memberikan ilmu dan pengiktirafan yang mengiktiraf bakat serta keupayaan mereka.

“Dengan adanya program ini, anak-anak PERMATA Seni akan memiliki laluan yang lebih jelas untuk meneruskan kerjaya selepas SPM, dengan sokongan daripada pelbagai pihak dan agensi, termasuk universiti yang menawarkan program seni budaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN