Tawaran usaha sama pemilik, pemaju dipersetujui tanpa paksa

Tawaran usaha sama pemilik, pemaju dipersetujui tanpa paksa

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tawaran usaha sama antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama dan tidak dilakukan secara paksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, rundingan itu melibatkan pulangan usaha sama iaitu unit gantian, kos pindah keluar dan masuk, insentif persetujuan usaha sama, ex-gratia ubahsuai rumah sedia ada dan bayaran sewaan sementara.

“Ditegaskan, pemilik yang bersetuju dengan tawaran usaha sama akan mendapat nilai masa depan, manakala penentuan tawaran pampasan pengambilan tanah adalah berlandaskan perundangan dalam Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dan lain-lain peraturan berkaitan dengan nilai pasaran semasa.

“Semua pihak perlu menghormati proses dan keputusan yang sudah dimuktamadkan kerana ia membabitkan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

“Pelaksanaannya diurus secara sah mengikut kaedah yang ditetapkan bagi mengelak kesahihannya dicabar,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status rayuan tuntutan pampasan lebih adil oleh kumpulan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, yang mana mereka diberikan pampasan hanya sepertiga daripada diterima kumpulan menerima tawaran pampasan oleh pemaju di peringkat awal.

Menurut Dr. Zaliha, proses pengambilan tanah bagi 110 unit yang membabitkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sudah selesai sepenuhnya pada Ogos tahun lalu.

Katanya, bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.

Menurut beliau, JKPTG WPKL menerima 75 permohonan Borang N (Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Mahkamah), Seksyen 38 APT 1960 membabitkan 13 permohonan daripada unit flat dan 62 permohonan daripada lot teres, berkenaan bantahan jumlah tawaran pampasan pengambilan tanah yang ditawarkan JKPTG WPKL.

“Bagi unit flat, mahkamah memerintahkan 11 permohonan daripada pemilik unit flat diberi tambahan bayaran pampasan sebanyak RM18,000 hingga RM24,000 seunit, berdasarkan perintah penghakiman persetujuan (penyelesaian luar mahkamah).

“Jumlah adalah tambahan bayaran kepada tawaran pampasan keseluruhan yang ditawarkan JKPTG WPKL kepada pemilik yang berjumlah antara RM244,000 dan RM356,000.

“Pemohon setuju dengan tawaran peningkatan lebih kurang 10 peratus daripada nilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan keseluruhan tambahan bayaran pampasan berjumlah RM200,000 sudah diserahkan kepada pemohon terbabit, manakala baki bagi dua permohonan lagi masih dalam tindakan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Bagi lot teres, Dr. Zaliha memaklumkan, satu permohonan dibicarakan pada Mei lalu dan mahkamah memutuskan tambahan bayaran pampasan sebanyak RM69,000 atau kira-kira lapan peratus daripada `award’ hartanah JKPTG WPKL berjumlah RM874,000.

“Baki bagi 61 permohonan membabitkan pemilik lot teres ini masih dalam tindakan pihak AGC,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya