ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa mempertimbang untuk membatalkan musim penanaman padi ketika ini atau mengisytiharkan darurat kepada petani yang terjejas akibat banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, petani terlibat mengalami kerugian kos input selain kehabisan modal pusingan untuk meneruskan musim penanaman padi selepas terkesan bencana itu.
“Petani terlibat juga perlu menerima bayaran pampasan atau wang ihsan ‘batal musim’ dengan minimum RM1,200 bagi setiap satu relung atau 0.29 hektar sawah padi.
“Pelbagai aspek tanaman padi terjejas teruk termasuk isu tiada lagi padi semaian mahupun tanggungan atas kos benih padi, kos jentera untuk membajak sawah termasuk upah menanam mahupun menabur. Malah tiada lagi subsidi baja kerana para petani hanya boleh mendapatkannya sekali semusim,” katanya di sini semalam.
Sejumlah RM177 juta nilai kerosakan dianggarkan dialami sektor agromakanan susulan banjir semasa Monsun Timur Laut (MTL), yang membabitkan 15,456 petani di seluruh negara.
Katanya antara kerosakan dialami termasuk kira-kira 28,000 hektar kawasan penanaman dengan paling tinggi membabitkan sawah padi di Kelantan, Kedah serta Terengganu.
Mohd. Ashraf Mustaqim berkata, kejadian yang menimpa kawasan terjejas itu mengakibatkan kelewatan musim penghasilan padi sekali gus akan menimbulkan masalah rantaian ke atas kawasan sawah padi yang tidak terjejas akibat banjir.
Selain itu, katanya, hujan juga masih berlarutan ditambah masalah perparitan dan sungai di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang tidak diselenggara sehingga menyebabkan air bertakung.
“Ini menjadikan keadaan air dalam sawah padi tidak surut-surut, tambah menyulitkan apabila air dari sungai yang melimpah masuk ke petak bendang habis menenggelamkan padi,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap mendapat maklum balas positif daripada kementerian ekoran pelbagai rungutan yang dibuat terutama di Kota Siputeh. – UTUSAN