MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membina sebuah taman permainan kanak-kanak khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) pertama di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, Taman Permainan Kanak-kanak Interaktif Sejagat itu direka khas untuk kegunaan OKU termasuk anak autisme.
Menurutnya, kemudahan alat permainan yang dibina adalah berkonsepkan mesra OKU dan dijamin lebih selamat berbanding taman permainan kanak-kanak normal.
“Set permainan ini juga mesra kanak-kanak autisme yang hipersensitif kepada sentuhan, pergerakan, penglihatan dan bunyi. Taman ini adalah yang pertama dibina di negeri ini dilaksanakan oleh MBMB serta mendapat peruntukan RM500,000 daripada Jabatan Landskap Negara.
“Alat permainan yang dibina di sini berkonsepkan interaktif dapat membantu mengembangkan dan meningkatkan kemahiran fizikal dan mental serta merangsang pemikiran golongan ini.
“Sebagai contoh buaian yang ada untuk kanak-kanak normal dan satu lagi buaian untuk golongan OKU yang membolehkan mereka menaikinya walaupun berkerusi roda dan apa yang lebih penting ia lebih menjamin keselamatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini, hari ini. – UTUSAN