PETALING JAYA: Sikap tamak dan desakan hidup menjadi punca utama rakyat mudah terjebak dalam skim pelaburan palsu terutama di platform seperti Telegram dan WhatsApp.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, modus operandi tersebut melibatkan tawaran pelaburan atau latihan perdagangan kripto dengan menjanjikan pulangan tinggi, tetapi berakhir dengan kehilangan wang mangsa.
Katanya, mangsa membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa memeriksa kesahihan pelaburan, akibat tekanan kewangan atau keinginan segera untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.
“Meskipun Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mempergiat kempen kesedaran, pemahaman literasi kewangan rakyat masih lemah.
“Skim-skim palsu ini juga semakin licik dengan memalsukan dokumen kononnya diluluskan SC atau BNM, menambahkan lagi kekeliruan kepada orang ramai,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan aplikasi Telegram medium paling banyak digunakan untuk melakukan penipuan pelaburan melibatkan 1,346 kes diterima polis bagi tempoh lapan bulan tahun ini.
Dalam pada itu, Pensyarah kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, kurangnya literasi kewangan menyebabkan golongan berumur khususnya mudah terpedaya dengan iklan pelaburan palsu.
Katanya, golongan berumur sering menjadi mangsa kerana mereka memiliki simpanan seperti duit pencen atau KWSP yang dijadikan sasaran utama oleh sindiket pelaburan palsu. – UTUSAN