TUMPAT: Takut ditangkap dan masalah kewangan menjadi punca pengikut Global Ikhwan Sdn. Bhd Holdings (GISBH) tidak menuntut anak-anak mereka yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penyerahan anak-anak pengikut GISBH antaranya perlu melalui proses mahkamah dan ibu bapa bimbang mereka ditangkap polis.
Katanya, selain itu masalah kewangan turut menjadi punca ibu bapa tidak menuntut hak penjagaan anak masing-masing.
“Semua aspek berkaitan penjagaan anak-anak pengikut GISBH ini memerlukan proses mahkamah yang mana JKM perlu memohon untuk melindung dan menyerahkan kembali kepada ibu bapa masing-masing.
“Selain itu proses ini berjalan perlahan berikutan kurangnya ibu bapa mahu berjumpa JKM apabila ia turut melibatkan PDRM. Mereka takut ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tumpat 2, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Santubong itu memberitahu, sepatutnya ibu bapa tidak perlu takut untuk bertemu JKM dalam urusan menuntut anak-anak masing-masing kerana mereka telah dimaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil.
Katanya, selain itu terdapat juga ibu bapa yang meminta JKM menjaga anak-anak GISBH ini terlebih dahulu kerana tidak mampu dari sudut ekonomi apabila kehilangan punca pendapatan.
Tambahnya, setakat ini kira-kira 130 anak-anak pengikut GISBH masih berada dalam jagaan JKM dan selebihnya telah dituntut oleh ibu bapa masing-masing termasuk empat anak-anak diserahkan kepada orang yang layak dan sesuai (OYMS). – UTUSAN