KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan mengenai usahasama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited (PSI).
Jelasnya, pertemuan dengan Putera Turki, Pengarah PSI, Tarek Obaid dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di atas kapal mewah, RM Elegance adalah pertemuan yang tidak rasmi.
Tambah Najib, pada ketika itu, beliau dan keluarganya serta rakannya sedang bercuti di Afrika Selatan sebelum pegawai khasnya, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail memaklumkannya mereka semua dijemput oleh Putera Turki untuk minum petang di atas RM Elegance.
Jemputan itu disampaikan oleh Jho Low melalui Wan Ahmad Shihab.
“Saya sekerasnya menafikan dakwaan saksi-saksi pendakwaan. Pertemuan saya dengan Putera Turki, Tarek Obaid dan Jho Low sewaktu minum petang adalah (pertemuan) tidak rasmi. Sebenarnya, itu adalah kali pertama saya bertemu dengan Putera Turki dan Tarek Obaid.
“Cadangan bahawa kami sedang membincangkan sesuatu yang jahat bukan sahaja tidak masuk akal malah tidak berasas.
“Sekiranya ada agenda tersembunyi atau niat jahat, saya pasti tidak akan membenarkan gambar kami diambil. Cadangan bahawa kami sedang merancang sesuatu yang salah dengan kehadiran keluarga saya dan rakan adalah tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.
“Saya yang berada dalam pertemuan itu dan oleh itu saya yang mengetahui apa sebenarnya yang dibincangkan. Bagi mereka yang tiada dalam pertemuan tersebut dan kemudiannya membuat spekulasi serta kesimpulan yang buruk adalah satu usaha untuk memenuhi naratif pendakwaan yang mengelirukan dan tidak adil,” kata Najib.
Wan Ahmad Shihab dalam keterangannya sebelum ini menyatakan percutian itu turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa, Nor Ashman Razak, Daniyar Kessikbayev (menantu Najib) dan Kolonel Norhayati binti Hassan (Pegawai Pengiring Rosmah).
Beliau turut memberitahu, seorang pelakon Hollywood, Jamie Foxx iaitu salah seorang pelakon dalam filem Spider-Man: No Way Home dan keluarganya turut berada di atas kapal tersebut.
Terdahulu, Najib memberitahu bahawa beliau mengenali Jho Low melalui anak tirinya, Riza Aziz yang berkawan dengan adik ahli perniagaan dalam buruan itu, Taek Szen ketika mereka belajar di London School of Economics (LSE).
“Perkenalan ini berkemungkinan membantu Jho Low mendapatkan nombor telefon saya. Pada masa sama, ramai rakyat Malaysia yang mempunyai nombor telefon peribadi saya,”katanya.
Selain itu Najib turut menyatakan rasa kagumnya terhadap Jho Low yang boleh menghubungi terus Putera Turki yang merupakan anak kesayangan Almarhum Raja Abdullah.
“Prospek untuk mengukuhkan hubungan dengan Kerajaan Arab Saudi kerana mempu memberikan faedah besar buat Malaysia. Secara khususnya, saya melihat kepada peluang untuk meningkatkan kebajikan umat Islam di Malaysia termasuk kemungkinan pertambahan kuota jemaah haji yang merupakan perkara penting buat semua umat Islam,”ujar Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok.-UTUSAN