PETALING JAYA – Meskipun sudah mempunyai nama dalam industri muzik tanah air, penyanyi era 90-an, Alina Hassan tidak segan mempertaruhkan bakat nyanyiannya dalam program realiti ikonik, One In A Million (OIAM).
Menurut Alina, dia tidak sangka apabila dirinya berjaya melepasi Top 100 peserta walaupun perlu bersaing dengan bakat yang lebih mudah daripadanya.
“Rasa bertuah dan tidak sangka. Bila lihat peserta lain, mereka semua hebat-hebat dan jauh lebih muda berbanding saya yang sudah warga emas.
“Namun, saya pergi mencuba nasib dengan niat untuk cabar diri sejauh mana saya mampu bersaing, anak-anak juga memberikan sokongan penuh.
“Saya harap dapatlah melepasi peringkat seterusnya. Kalau tidak berjaya pun saya anggap itu rezeki saya,” katanya.
Alina yang merupakan juara Sinaran Passport Kegemilangan 1996 itu berkata demikian ketika ditemui di sidang media pengenalan Top 100 OIAM, di sini, semalam.
Ditanya sama ada dirinya tidak segan untuk mulakan semula kerjayanya dari bawah, Alina lebih selesa menjadi diri sendiri untuk mengekalkan namanya dalam industri muzik.
“Saya tidak segan pun kalau perlu mula dari bawah. Buat apa mahu segan? Saya selesa jadi diri sendiri dan buat perkara yang saya yakin. Saya pernah menjadi penyanyi dan terkenal. Saya juga pernah membuat kerja-kerja pembersihan.
“Saya yakin semua itu rezeki saya walaupun pernah bergelar juara suatu ketika dahulu. Jadi perkara itu bukan masalah untuk saya dan saya hanya jalan terus saja,” jelasnya.
Mengulas mengenai OIAM, Alina yang merupakan peserta paling berusia perlu bersaing dengan bakat muda sehingga berjaya melayakkan diri menembusi kategori Top 12 yang akan membuat persembahan mingguan bermula 22 Disember ini.
Lebih menarik lagi, program realiti itumenawarkan hadiah utama bernilai RM1 juta, termasuk wang tunai RM500,000, sebuah kereta Peugeot 408 GT, dan kontrak rakaman.
Pada musim ini, OIAM menampilkan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy sebagai hos, manakala Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain, dan Cakra Khan bertindak sebagai juri tetap.
Peserta akan berentap selama tujuh minggu sebelum melangkah ke pentas akhir pada minggu kelapan, dengan sistem pemarkahan melibatkan juri (60%) dan undian penonton (40%).
Program OIAM pernah melahirkan juara hebat seperti Suki Low, Ayu Damit, dan Tomok. – UTUSAN