KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Anzalna Nasir mengakui tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk terlibat dalam bidang komersial demi wang ringgit.
Menurut Anzalna, dia menyifatkan kedua-dua putera kesayangannya, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan sudah terbiasa dengan kamera selain menganggap perkara itu sebagai proses untuk belajar.
“Eidrees sudah jadi duta jenama sejak umur setahun, dia biasa dengan kamera. Manakala, Emirhan pula baru nak mula tahun ini bersama satu jenama susu, jadi dia masih dalam proses belajar.
“Bekerja dengan kanak-kanak bukan mudah. Kita tak boleh paksa mereka demi duit. Kalau mereka enggan, kita kena lepaskan. Jangan sesekali paksa.
“Alhamdulillah, semalam Emirhan sendiri yang pilih baju dan ikut kami buat ‘photoshoot’,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Dalam perkongsian tersebut, Anzalna turut berkongsi momen mereka sekeluarga sedondon mengenakan baju berons hijau gelap ketika menjalani sesi bergambar untuk sebuah jenama pakaian sempena hari raya.
Kata pelakon drama Memori Cinta Suraya itu, momen indah itu dirakamkan sebagai kenangan terindah buat anak-anaknya apabila dewasa kelak.
“Gembira sangat sebab ini semua adalah kenangan sewaktu mereka kecil,” ujarnya.
Sekadar info, Anzalna telah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Hanif Zaki pada 21 Februari 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Eidrees, 5, dan Mohamad Emirhan, 2.-UTUSAN