Taburan hujan 6 bulan dalam tempoh lima hari punca banjir besar

Jumlah taburan hujan 6 bulan dalam tempoh lima hari punca banjir besar

Tinjauan dari udara menunjukkan keadaan banjir di sekitar rumah penduduk kampung di Kampung Matang, Hulu Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hujan lebat di luar kebiasaan bersamaan tempoh enam bulan di Kelantan dan Terengganu dengan jumlah melebihi 1,000 milimeter (mm) adalah punca utama banjir besar melanda di kedua-dua negeri di Pantai Timur tersebut.

Malah berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai dicatatkan di Kelantan dan Terengganu adalah lebih tinggi berbanding banjir besar pada tahun 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, banjir yang melanda pada luruan kedua Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini membawa jumlah taburan hujan melebihi dua kali ganda di kebanyakan kawasan di Kelantan dan Terengganu.

Pada masa sama, katanya, air pasang besar juga menyumbang kepada peningkatan paras air sungai sehingga berlaku limpahan di kawasan sekitar sekali gus menyebabkan banjir.

“Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen, termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167mm), manakala Terengganu menyaksikan bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439mm).

“Hujan lebat di luar kebiasaan, maknanya limpahan hujan itu purata hujan bergantung kepada tempat, ada yang melebihi dua kali ganda daripada purata hujan dan juga keadaan air pasang besar.

“Maknanya sungai dan laut itu dalam keadaan tinggi, jadi bertembunglah dan sebab itu limpahan terjadi,” katanya selepas melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), di sini, hari ini.

Sebelum itu, Fadilah diberi taklimat oleh pegawai JPS berhubung bencana banjir yang direkodkan agensi tersebut sejak 5 November lalu apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengumumkan bermulanya MTL.

Dalam taklimat yang turut disertai pemberita, JPS merekodkan sebanyak 289 kejadian banjir dalam luruan kedua MTL baru-baru ini dengan 116 daripadanya berlaku di Terengganu.

Berdasarkan taklimat diberikan, terdapat tiga punca banjir yang dilaporkan iaitu banjir monsun, kilat dan pantai.

Fadillah juga memaklumkan pihaknya tidak menolak akan berlaku bencana banjir di Pahang dan Johor selepas ini berikutan aliran air dari Kelantan, Terengganu akan turun ke bawah.

“Kalau ikut jangkaannya, lepas ini aliran (banjir) itu akan turun ke Pahang dan juga ke Johor. Jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga lah,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadilah berkata, sehingga semalam, sebanyak 31 notis ramalan awal dikeluarkan PRABN di 11 negeri termasuk Johor, Kelantan, dan Terengganu.

Katanya, PRABN juga mengeluarkan 27 notis hebahan amaran banjir di 27 daerah melibatkan 518 kawasan.

“Terkini, iaitu semalam Amaran banjir di Besut (7 kawasan) dan Setiu (3 kawasan) dengan risiko banjir pada 3 hingga 6 Disember dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya