KUALA LUMPUR : Selepas mendapatkan pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) di sebuah hospital, aktor, Adam Lee, 30, mengakui terkejut apabila doktor mengesahkan tiada keretakan tulang berlaku pada bahagian lehernya.
Menurut Adam, dia bersyukur tiada perkara yang serius berlaku namun mengakui masih perlu menjalani rawatan fisioterapi selain dinasihatkan doktor untuk berehat selama sebulan.
“Alhamdulillah, doktor maklumkan tiada keretakan atau kepatahan berlaku pada tulang leher sebagaimana yang saya sangka sebelum ini. Saya pun terkejut dengan keputusan MRI tersebut, tetapi lega kerana ia tidak serius.
“Doktor beritahu apa yang saya alami ini ia seperti slip disc tetapi bukan. Tulang leher itu terkehel (dislocated) dan hampir terkena saraf.
“Doktor kata saya bertuah sebab jika terkena pada tulang saraf itu, ia boleh membawa kepada kelumpuhan, “katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Selain itu, Adam berkata, dia juga pada awalnya bimbang dengan keadaan tersebut kerana tidak dapat meneruskan komitmen penggambaran yang telah dijadualkan.
Katanya, ia termasuk dua buah projek penggambaran yang dijadualkan pada Januari.
“Selepas mendapat perkhabaran baik ini saya akur dengan doktor untuk berehat selama sebulan. Tetapi Februari nanti saya dah boleh kembali masuk ke set penggambaran.
“Saya bersyukur dapat kembali semula bekerja. Pada masa ini saya mengharapkan doa daripada semua pihak dan tetima kasih kepada yang telah mendoakan kesembuhan saya,”katanya.
Terdahulu, pelakon drama Budak Tebing dan filem Babah ini dilaporkan telah dimasukkan ke hospital selepas disangka mengalami kepatahan pada bahagian leher.
Menjelaskan punca terjadinya musibah berkenaan, Adam memberitahu ia berlaku semasa dia sedang melakukan latihan seni mempertahankan diri dan terjatuh pada bahagian leher.
Tambah aktor itu, selepas mendengar nasihat daripada isterinya iaitu aktres Sweet Qismina, dia membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan lanjut di klinik dan hospital.
“Pada Rabu lalu saya ada latihan seni bela diri dan salah jatuh terkena pada bahagian leher
C3 yang patah.
“Atas nasihat isteri, saya pergi ke klinik dan seterusnya ke hospital untuk lakukan rawatan susulan,” katanya.-UTUSAN