PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat untuk membawa pulang lebih 50 rakyat Malaysia yang kebanyakannya adalah pelajar di Syria susulan kejatuhan pemerintahan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan bagaimanapun memantau rapi tahap keselamatan kesemua pelajar itu setiap hari.
Beliau berkata, pelajar itu kini dipantau rapi oleh konsul kehormat malah, mereka berhubung secara harian dengan Wisma Putra.
“Pelajar-pelajar kita di sana dalam keadaan selamat, aman dan makanan pun cukup serta mereka duduk di kolej masing-masing.
“Kita tidak berhasrat untuk membawa mereka balik kerana keadaan nampaknya baik dan tenang di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Bantuan Kemanusiaan Malaysia Kepada Palestin di Bawah Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan, di sini hari ini.
Katanya, walaupun Syria kini di bawah pimpinan kerajaan sementara namun, semua pihak berharap agar keamaman dapat dikekalkan di negara itu.
Mohamad berkata, kerajaan mahupun Wisma Putra sedang memantau rapat keadaan di Syria dan berharap supaya keamanan dapat dikekalkan di sini.
“Diharap kerajaan yang baru dilantik ini berusaha untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan itu menjadi perkara pokok,” katanya.
“Buat masa ini, belum ada kerajaan yang sah dan mereka nampaknya berusaha untuk mengekalkan keamanan, jadi kita berharap supaya ini akan terus dapat dikekalkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 79 warga negara Malaysia termasuk 37 penuntut berada di Syria. – UTUSAN