PASIR MAS: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia memperhalusi cadangan untuk menukar waktu pemeriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar musim tengkujuh.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara tersebut antara cadangan dan maklum balas yang diperoleh oleh kementeriannya dan boleh dilihat secara lebih mendalam selepas ini.
“Ketika ini (SPM) jadualnya begitu di hujung tahun dan kita (KPM) berdepan dengan cuaca (hujan dan banjir). Maknanya perkiraan itu kita ambil kira.
“Jadi kita akan lihat dari semasa ke semasa kerana ia mendapat perhatian besar daripada masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Pas sebelum ini meminta KPM mempertimbang penangguhan peperiksaan SPM susulan cuaca buruk dan banjir yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, keadaan hujan lebat serta banjir yang tidak terkawal akan mendatang kesan mendalam, khususnya kepada mangsa. – UTUSAN