KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan mandapatkan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencabar tindakan kerajaan berhubung peruntukan dana di kawasan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan.
“Adalah undang-undang yang mantap bahawa mana-mana permohonan yang difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan merupakan satu tindakan yang remeh dan menyusahkan.
“Sekiranya saya terkhilaf mengenai tempoh masa, isu berhubung peruntukan berkait dengan polisi kerajaan yang mana tidak boleh dipertikaikan melalui semakan kehakiman,” katanya.
Pada 23 April lalu, Syed Saddiq dan tiga pengundi di kawasan Parlimen Muar iaitu Najib Abu Nawar, Mohd. Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri selaku pemohon, memfailkan permohonan itu dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan kebenaran itu, Syed Saddiq mendakwa kerajaan memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Muar.
Sehubungan itu, mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta, yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana bagi kawasan Parlimen Muar.
Selain itu, mereka memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden dalam keputusan mereka membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem myKHAS, yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut serta keputusan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300 yang dipohon oleh pemohon pertama dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta.
Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.
Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden telah melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan parlimen itu yang terjejas termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL