SEREMBAN: Sebuah syarikat stesen minyak dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan membenarkan penjualan barang berjadual minyak diesel sebanyak 6,562 liter ke dalam sebuah lori yang melebihi had dibenarkan, tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS) iaitu Lim Kok Ban, 63, dan Othman Mohamad Supian, 59, sebagai pengarah yang turut mewakili syarikat terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, Syarikat Lestari Kasturi Sdn. Bhd secara bersama dengan dua pengarahnya sebagai pemegang lesen runcit telah membenarkan penjualan diesel iaitu barang berjadual kepada kenderaan lori sebanyak 6,562 liter.
Oleh itu, syarikat dan OKS telah gagal untuk mematuhi arahan yang diberi oleh Pegawai Bekalan Malaysia iaitu stesen minyak di seluruh negara dibenarkan menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak lebih daripada 250 liter dengan sekali transaksi sehari ke dalam tangki asal kenderaan.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 7 petang di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai di sini pada 21 Ogos 2023.
Syarikat terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan
Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Jika sabit kesalahan, mana-mana pertubuhan perbadanan yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda maksimum RM5 juta.
Manakala dua pengarah syarikat didakwa di bawah peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 22(4) AKB 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Alimah Mohd. Sanusi menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS.
Peguam Rosmira Embong yang mewakili kedua-dua OKS kemudian memohon jaminan yang paling rendah memandangkan anak guamnya itu menanggung keluarga dan mempunyai masalah kesihatan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Februari depan. – UTUSAN