Syarikat, pekerja restoran didakwa simpan minyak masak di premis tidak dilesenkan

Syarikat, pekerja restoran didakwa simpan minyak masak di premis tidak dilesenkan

MOHD.  Arman Omar (kanan) dan Das Jhonny (tiga dari kanan)  didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyimpan barang kawalan minyak masak sebanyak 1,241 kilogram di dalam tong 'jerry' di sebuah premis yang tidak dilesenkan pada April lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah syarikat mengusahakan restoran mamak dan pekerjanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan barang kawalan minyak masak sebanyak 1,241 kilogram di dalam tong di sebuah premis yang tidak dilesenkan pada bulan April lalu.

Syarikat tersebut diwakili oleh Pengurus Operasi, Mohd. Arman Omar, 45, pada prosiding hari ini.

Bagaimanapun, Hakim, Mohamad Kamil Nizam meminta pengarah syarikat itu sendiri hadir pada tarikh sebutan akan datang pada 13 Februari depan.

Pekerja restoran terbabit yang juga warga Bangladesh, Das Jhonny Chandra, 33, sebagai Orang Kena Saman (OKS) pula tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Mohamad Kamil.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu dan OKS telah didapati menyimpan barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 1,241 kilogram di dalam tong di premis yang tidak dilesenkan oleh Pegawai Bekalan untuk penyimpanan tersebut. 

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hostel pekerja restoran di Dataran Sentral Seremban lebih kurang pukul 3.15 petang, 26 April 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda maksimum RM5 juta.

Manakala Das Jhonny didakwa di bawah Seksyen 20(1) AKB 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Khairul Azman Rosli tidak menawarkan jaminan terhadap OKS tetapi sekiranya mahkamah membenarkan beliau mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

OKS yang diwakili peguam, A. Ashok memohon jaminan munasabah diberikan kepada Das Jhonny yang kini tinggal di hostel pekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan Das Jhonny dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia berserta syarat tambahan melapor diri di KPDN Seremban setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Februari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya