Suri rumah rugi RM16,857 serah barang kemas kepada 'polis'

Suri rumah rugi RM16,857 serah barang kemas kepada ‘polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang suri rumah mendakwa kerugian sehingga RM16,857 selepas menyerahkan barang kemasnya kepada pihak ‘polis’, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C. Tharmalingam berkata, terdahulu, mangsa yang berusia 38 tahun itu memberitahu telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan syarikat jualan dalam talian kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, mangsa didakwa oleh individu terbabit menjalankan perniagaan kosmetik di platform berkenaan tanpa lesen sebelum panggilan itu disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kononnya untuk semakan rekod jenayah.

“Mangsa kemudiannya dikatakan terlibat pula dengan kes pengedaran dadah dan penyeludupan wang haram.

“Individu yang tidak dikenali itu seterusnya mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang kemas miliknya kepada pihak polis bagi tujuan siasatan.

“Selepas itu, mangsa mendakwa telah bertemu dengan seorang individu di tepi jalan sekitar Tasek Gelugor kira-kira pukul 1 petang pada hari yang sama seperti telah diarahkan dan telah menyerahkan barang kemas miliknya,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tharmalingam menjelaskan, mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi individu yang berurusan dengannya sebelum ini.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan berpandukan kes ini, adalah mustahak untuk kita meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan wanita supaya jenayah komersil seumpama ini dapat dielakkan.

“Justeru, setiap individu perlu memainkan peranan selaku penyebar mesej kesedaran supaya dapat membentuk komuniti yang selamat dan terhindar daripada menjadi mangsa ‘scammer’,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya