BUTTERWORTH : Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam di atas dua pertuduhan penipuan iaitu melibatkan urusan jual beli rumah dan emas membabitkan kerugian berjumlah RM68,282.
Tertuduh, Siti Fatimah Zahra’ Ismail, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita berusia 30 tahun untuk mempercayai dia akan menguruskan pembelian rumah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM16,930 kepada tertuduh menerusi akaun bank.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 12.46 tengah hari di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas pada 24 Mei 2023.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu mangsa yang sama menerusi penjualan 581 kotak emas berjumlah RM110,900 yang dijalankan menerusi transaksi tiga akaun bank.
Bagaimanapun, hanya 82 kotak emas diterima menyebabkan mengsa mengalami kerugian sebanyak RM51,352.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada 18 April sehingga 16 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Februari depan untuk sebutan kes.