Semak dahulu sebelum menderma untuk mangsa banjir- Polis

Semak dahulu sebelum menderma untuk mangsa banjir- Polis

RAMLI MOHAMAD YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai diminta sentiasa peka dalam menderma terutamanya membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas agar tidak menjadi manga penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, sifat mudah simpati dalam kalangan masyarakat dibimbangi akan diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab untuk membuka tabung-tabung derma dan menyeleweng duit hasil kutipan derma itu.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan membabitkan penipuan berkaitan tabung kutipan derma dan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir.

“Bagaimanapun, masyarakat perlu cakna siapakah peneraju jika terdapat mana-mana tabung bencana diwujudkan bagi memastikan tidak menjadi mangsa penipuan.

“Tidak kira nilai derma yang dibuat kecil atau besar. Jika tidak menyemak terlebih dahulu kesahihan tabung yang dilancarkan, sudah pasti akan menyebabkan kerugian yang besar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ramli mengingatkan, derma dan sumbangan yang ingin diberikan perlu disalurkan kepada pertubuhan yang didaftarkan serta menjalani proses audit.

“Kita perlu memastikan akaun bank milik pertubuhan yang mengutip derma ini perlu menjalani proses audit bagi memastikan wang derma yang diterima disalurkan kepada pihak yang sepatutnya,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN