Sultan Nazrin lawat makmal analisis NR-REE pertama negara - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin lawat makmal analisis NR-REE pertama negara

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim bersama kakitangan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) ketika melawat kilang tersebut di Kawasan Perindustrian Gopeng hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama negara, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) di Kawasan Perindustrian Gopeng, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, Datuk Anuar Zainal Abidin.

Dalam lawatan itu, baginda berdua turut berkenan mendengar taklimat keselamatan oleh Anuar sebelum dibawa meninjau fasiliti dan pengoperasian makmal.

Sementara itu Saarani berkata, TML yang beroperasi di bawah seliaan sepenuhnya MB Inc itu merupakan makmal analisis NR-REE komersial pertama negara dengan dilengkapi peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf dunia.

Katanya, makmal itu juga mempunyai keupayaan unggul dalam menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral khususnya NR-REE.

“Makmal ini kini dikendalikan oleh 15 pakar tempatan yang merupakan graduan terlatih dari universiti tempatan sekali gus membuktikan kejayaan dalam membangunkan bakat setempat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Saarani, makmal analisis itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri menerusi MB Inc. Perak dalam membangunkan industri mineral secara bertanggungjawab selaras Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Pembangunan industri NR-REE ini bukan sahaja akan memanfaatkan ekonomi negeri tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta meletakkan Perak di peta global industri mineral,” katanya.

TML kini menawarkan perkhidmatan analisis mineral kepada pelbagai pihak berkepentingan industri, bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara.

Peranannya sebagai pusat pangkalan data dan penanda aras rujukan negeri memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju dalam industri NR-REE negara.

Terdahulu, Sultan Nazrin turut berkenan berangkat ke kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC), Malaco Mining Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang di sini.

Kilang pemisahan bahan galian kritikal itu telah mencapai kejayaan awal dengan berjaya mengasingkan empat kumpulan unsur nadir bumi (REE) merangkumi lanthanum cerium (LaCe), praseodymium neodymium (PrNd), samarium europium gadolinium (SEG), dan heavy rare earth element (HREE).

Pencapaian itu membuktikan keupayaan teknologi tempatan dalam mengasingkan elemen-elemen REE yang penting. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya