Sultan Nazrin gembira, puas hati potensi industri REE di Perak - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin gembira, puas hati potensi industri REE di Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melawat makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama negara, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. di Gopeng hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan perkembangan dan potensi industri unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, titah itu dizahirkan baginda selepas berkenan melawat makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama negara, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) dan kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC), Malaco Mining Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam lawatan itu, baginda bertitah supaya perkembangan industri tersebut diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan kerajaan pusat daripada aspek kepakaran dan peruntukan dana.

“Saya sangat gembira kerana tuanku menyatakan bahawa baginda berpuas hati dan gembira dengan kedua-duanya (TML dan CPP POC).

“Tuanku bertitah untuk kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan. Insya-Allah, kita akan memulakan langkah-langkah yang disebutkan sebagai pengubah keadaan (game changer),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi keberangkatan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke TML di Taman Perindustrian Gopeng, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, Datuk Anuar Zainal Abidin.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan dana sebanyak RM20 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menjalankan eksplorasi terperinci berkaitan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dan mineral lain di Perak.

Katanya, Syarikat Malaco Mining juga telah membuat permohonan bagi mendapatkan dana dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

“Sudah tentu (kerjasama dengan kerajaan Persekutuan) adalah dari segi dana. Jadi, kalau kerajaan Persekutuan boleh beri RM20 juta dan lebih lagi (peruntukan) dari semasa ke semasa, sudah tentu kita boleh melakukannya dengan lebih lagi.

“Buat masa ini, Malaco berjaya hasilkan empat elemen REE yang mana telah dibuktikan menerusi analisis di MTL bahawa kandungannya itu 44 peratus antaranya ada HR-REE (heavy rare earth element).

“Ini bermakna kita boleh teroka lagi untuk hasil-hasil yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Lih Kang berkata, kementeriannya sedia memberi kerjasama kepada pembangunan REE di Perak memandangkan ia satu industri penting untuk memacu negara ke arah perindustrian berimpak tinggi dan berkembang pesat.

“Kementerian memang ada sediakan peruntukan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan dalam hal ini, sudah semestinya kita akan beri pertimbangan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya