PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) mengesahkan lima acara bagi kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan di Sukan SEA Thailand 2025.
Lima acara berkenaan ialah regu berpasukan, regu, kuadran, gelung dan chinlone masing-masing untuk lelaki dan wanita yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember tahun depan.
Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, kelayakan dan perincian acara itu diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA di Ibu Pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Thailand pada 25 Oktober lepas.
“Kami mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada NOC Thailand pimpinan Jeneral Prawit Wongsuwan.
“Kami juga menghargai persiapan Majlis Persekutuan Sukan SEA Thailand dan Ibu Pejabat Sukan SEA diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Chaiyapak Siriwat,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, sesebuah negara boleh menyenaraikan sehingga 21 pemain bagi lelaki dan wanita bagi acara sepak takraw serta mininum enam pemain atau maksimum lapan pemain bagi lelaki dan wanita untuk acara chinlone.
Selain itu katanya, Kumpulan A (Kategori Terbuka) merangkumi acara regu berpasukan lelaki dan wanita manakala Kumpulan B memberi kebenaran kepada setiap negara memilih dua daripada tiga acara iaitu antara regu, kuadran dan gelung untuk lelaki dan wanita.
“Kumpulan C (Kategori Terbuka) memperkenalkan acara kuadran campuran dan Kumpulan D (Kategori Terbuka) untuk acara chinlone bagi lelaki dan wanita,” katanya.-UTUSAN