KUALA LUMPUR: Teater muzikal istimewa, Sudirmania, yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Disember 2024 bakal menterjemahkan lagu-lagu malar segar legenda muzik tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dalam sebuah pementasan.
Timbalan Pengarah JKKN Selangor, Norziatul Shuhadah Md Idris berkata, Sudirmania adalah sebahagian daripada program Siri Karya Agung yang bertujuan menyemarakkan seni budaya melalui pementasan karya-karya yang mengangkat warisan seni negara dan sebagai usaha untuk memastikan karya seni terus relevan.
“Kami berharap pementasan ini dapat mengangkat lagu-lagu malar segar Allahyarham Datuk Sudirman melalui interpretasi teater muzikal. Ia bukan sahaja memberi nafas baru kepada lagu-lagu Allahyarham, tetapi juga menyediakan platform kreatif kepada badan seni budaya untuk berkarya,” katanya.
Teater arahan Khairunazwan Rodzy ini bukan sekadar persembahan biografi Sudirman, tetapi sebuah kisah yang digarap melalui jiwa lagu-lagu beliau. Watak-watak seperti Ramlan, Tapa, dan Nina membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan Sudirman, termasuk suasana bersejarah Konsert Gergasi Chow Kit Road pada era 1980-an.
Menurut Khairunazwan, Sudirmania kali ini tampil dengan pembaharuan berbanding pementasan sebelum ini.
“Ia bukan kisah tentang Sudirman, tetapi kisah bagaimana lagu-lagunya menyentuh jiwa masyarakat. Setiap lagu digabungkan menjadi satu kronologi cerita yang mengisahkan tentang kehidupan, cinta dan perjuangan,” jelasnya.
“Antara barisan pelakon yang bakal menyerikan pentas termasuk Fimie Don, Amirul Affendi, Putri Khareeza, dan ramai lagi. Teater ini juga mengangkat tema universal seperti perjuangan cinta, konflik keluarga, dan cabaran hidup melalui olahan kreatif.
“Dalam naratifnya, penonton akan disajikan dengan pelbagai emosi, gelak tawa, tangisan, dan kehangatan nostalgia. Lagu-lagu seperti Chow Kit Road, Hujan dan Terasing menjadi nadi kepada cerita yang penuh gelora, mengingatkan kita betapa lagu-lagu Sudirman adalah suara hati rakyat,” ujarnya.
Tiket Sudirmania berharga RM35 dan RM55 boleh didapati di laman sesawang revolutionstage.com. Pementasan tersebut dianjurkan Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor serta disokong oleh pelbagai pihak, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Sudirman Asset Management.-UTUSAN