PETALING JAYA: Penyanyi yang juga adik kepada Bella Astillah, Didi Astillah, mendakwa pelakon, Ruhainies cuba mengungkit perkara yang sudah berlalu dengan niat memburukkan kakaknya.
Didi turut mempersoalkan tindakan Ruhainies yang seolah-olah ingin menyalahkan Bella Astillah di atas kontroversi kes khalwat yang melandanya pada 9 Mac lalu.
“Malas dan penat sebenarnya bila nampak hantaran melibatkan dia ini. Tapi video yang baru ini buat saya terpanggil mahu beritahu sikit tentang kenyataan dia yang tak habis-habis main sentimen ‘orang tak tahu perkara sebenar sampai sekarang pun tak tahu’.
“Dulu awak pun pernah buat kenyataan yang sama, lepas itu terus pergi umrah sebab mahu tunjuk seolah awak tidak salah. Allah jawab doa kakak saya yang dianiaya. Allah hantar seseorang untuk dedahkan perancangan jahat awak.
“Kes lama pun sanggup dikorek asalkan nama kakak saya buruk sekali. Tapi Allah maha baik, Allah lebih mengetahui apa yang kakak saya lalui. Bertahun-tahun mencintai dan menjaga dengan ikhlas walaupun sepatutnya dia yang dijaga.
“Pada saat kakak saya buat hantaran dengan meletakkan nama awak di media sosial kerana awak berjaya meruntuhkan rumah tangganya dengan kes khalwat, kenapa tak saman sahaja dia masa tu? Berani kerana benar,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Bagaimanapun, Didi merasakan perceraian yang berlaku ada hikmah tersendiri selain mendakwa pelakon itu pernah menabur fitnah mengenai kakaknya kepada rakan-rakan seindustri.
“Tapi ada hikmah kes khalwat terjadi, kalau tak, mungkin ada kemaafan yang ke-12 akan terjadi. Tolong berhenti sebar fitnah konon kakak saya perangkap.
“Saya tahu awak ada mesej artis dalam industri kita yang bergelar datuk untuk mengutuk dan fitnah kakak saya. Itu perangai awak,” tulisnya lagi.
Dalam hantaran yang sama, Didi meminta Ruhainies berhenti menjaja kisah lampau dan melupakan semua yang terjadi.
“Sudah macam budak sekolah mahu cari orang memihak kepada awak. Sibuk mahu beritahu orang walau tidak ditanya. Kenapa tak ‘move on’ lagi ya?
“Siapa yang bercerai? awak ke kakak saya? Kita kalau nak panjangkan lagi boleh saja tapi tolonglah, sudah nak masuk 2025, tak penat ke jadi jahat?,” tambahnya.
Terdahulu, menerusi sebuah temu ramah, Ruhainies menganggap segala dugaan yang dihadapinya tahun ini sebagai ujian sehingga membuatkannya dilabel sebagai artis paling kontroversi 2024. -UTUSAN