PETALING JAYA: Pelakon, Ikmal Amry, mendedahkan wajahnya sudah lama disamakan dengan pelakon Indonesia, Jefri Nichol sejak beberapa tahun lalu.
Menganggap ia perkara lucu, Ikmal mengakui pernah menyapa pelakon itu menerusi sebuah panggilan video oleh seorang kawan ketika di Bali, Indonesia.
“Saya sudah lama terima komen seperti ini, sejak dia (Jefri) masih budak, dan namanya baru naik.
“Waktu saya ke Bali, Indonesia, kawan saya di sana pun kata muka kami seiras. Jadi kami sempat buat panggilan video dengan Jefri Nichol dan saling bersapa.
“Rupanya dia pun terima komen yang sama. Ramai yang komen di media sosialnya mengatakan wajahnya sama dengan pelakon Malaysia, iaitu saya. Kami berdua saling dapat komen yang sama.
“Cuma saya rasa dia lebih kacak kerana usianya masih muda. Sementara saya sudah memasuki usia 30-an,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah pelakon Saga With Love itu lagi, dirinya turut menerima tempias apabila gosip percintaan antara Jefri Nichol dan pempengaruh, Ameera Khan, menjadi bualan umum.
“Ada yang lebih kelakar. Saya pernah dapat mesej bertanya mengapa saya memilih Ameera Khan? Mereka salah orang.
“Kalau mereka tengok Instagram saya, mereka akan tahu yang saya sudah berkahwin,” katanya lagi.
Namun begitu, Ikmal berharap agar suatu hari nanti dapat bersemuka dengan pelakon Indonesia itu atau berpeluang bergandingan dalam projek yang sama.
“Harapnya ada rezeki kami dapat bekerjasama, mungkin berlakon sebagai adik beradik.
“Saya mahu berjumpanya secara depan-depan dan bergambar sekali.
“Kerana sudah bertahun-tahun orang mengatakan wajah kami seiras. Baru-baru ini namanya kembali terkenal, lagilah lebih ramai yang mula bandingkan kami kembali,” jelasnya.
Terdahulu di media sosial, ruangan komen video Ikmal Amry dipenuhi dengan keterujaan peminat yang menyamakan wajah pelakon itu dengan bintang muda Indonesia, Jefri Nichol. -UTUSAN