Diuji dengan masalah ketumbuhan atau polips di bahagian anak tekaknya sejak setahun lalu, penyanyi, Black Hanifah, 36, mengakui kini kesihatan vokalnya sudah semakin pulih dan membaik.
Tidak lagi runsing dengan masalah tersebut, kata Black, apa yang menggembirakan hatinya ialah apabila kini mampu kembali aktif dalam dunia nyanyian setelah agak lama berhibernasi.
Lebih mengujakan, 8 Februari depan juga seakan memberi satu penanda aras baharu buat Black setelah dua tahun sepi tanpa sebarang pembabitan dalam sebuah konsert berskala besar.
Menerusi penganjuran konsert Hitam Manis yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kelak, kata Black, ia seakan membuka pintu untuknya kembali berdamai dengan dunia nyanyian dengan satu semangat dan diri dalam versi yang baharu.
“Sebenarnya, saya memang tak sabar nak beraksi di Konsert Hitam Manis pada Februari depan. Boleh dikatakan, ia adalah konsert besar pertama saya dalam tempoh dua tahun tidak aktif dalam dunia muzik.
“Semestinya saya akan buat sehabis baik. Tawaran ini pun datang selepas saya selesai pembedahan sebelum ini dan tanpa berlengah, saya terus bersetuju.
“Satu sebab, saya yakin sudah boleh sihat sepenuhnya dan keduanya kerana dua nama yang terlibat sama dalam konsert tersebut, iaitu Datuk Hattan dan Hazama,”katanya.
Menurut Black, secara peribadi, dia suka bekerjasama dengan Hattan dan Hazama dan menyifatkan kedua-dua mereka sangat menyenangkan.
“Apabila Hattan menghubungi untuk menyertai konsert ini, saya rasa sangat gembira sebab masih ada orang yang percaya dengan bakat nyanyian saya.
“Buat konsert ini pun bukan mudah, sebab itu saya memilih tawaran yang sesuai. Bukan tak ada orang yang datang menawarkan saya buat konsert termasuk konsert solo sebelum ini, tetapi saya agak memilih juga.
“Tetapi bila tengok dua nama ini saya terus bersetuju. Mereka ini bagi saya sangat senang bekerjasama, jenis straight forward dan telus,”ujarnya.
Black juga mengakui, antara sebab dia terpaksa menolak beberapa tawaran menyanyi sebelum ini kerana enggan dilabel sebagai penyanyi yang ‘asal boleh’.
Apa yang dimaksudkan Black, dia tidak mahu membolot semua tawaran menyanyi semata-mata kerana memikirkan keuntungan dari aspek wang sedangkan hasil nyanyian bertaraf ‘ala kadar’.
“Bukan cara saya. Saya sendiri sebagai penyanyi rasa tak seronok bila bekerja, dipanggil menyanyi tetapi dalam keadaan yang tak fit disebabkan suara yang tidak benar-benar pulih.
“Jadi saya bersabar dan tunggu sehingga vokal kembali okey dan sihat sepenuhnya. Saya beri jaminan, untuk konsert ini nanti, peminat dan penonton akan dapat dengar suara saya kembali seakan ketika di usia 23 tahun, Insya-Allah,”katanya.
UJIAN ADALAH REZEKI
Tambah Black, dia juga bersyukur kerana dari satu sisi jika dilihat, terjadinya masalah vokal yang dihadapi sebelum ini, dia tidak menyangka berpeluang menjayakan konsert Hitam Manis bersama Hattan dan Hazama.
“Jika tidak, saya seakan masih dalam dunia saya sendiri. Mungkin saya tak nak bekerja keras. Bila diuji sakit itu, saya macam dapat satu semangat untuk kembali setelah lama berehat.
“Saya bersyukur sebenarnya, ini bagaikan peluang kedua buat saya. Masa diuji, hampir setiap hari saya menangis sebab tak tahu apa nasib saya sebagai penyanyi.
“Memanglah saya ada bisnes lain yang diusahakan, tetapi menyanyi juga keutamaan. Sedikit sebanyak saya amat terkesan. Tak mengapalah, saya sudah tak pandang dah apa yang berlaku di belakang.
“Saya terus ke hadapan dengan kerja yang sedia ada sekarang. Saya akan fokus dan tak mahu bermain-main lagi. Dulu mungkin saya kebudak-budakan, sekarang saya kena jadi seorang penyanyi lebih matang dan tidak cepat melatah, semuanya ada hikmah,”ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sofea Jane dan Teman Pengganti ini mengakui tidak pernah menjalin kerjasama dengan Hazama dan Hattan dalam satu projek khusus sebelum ini.
Berikutan itu, Black mengakui teruja untuk melihat sendiri bagaimana dua penyanyi hebat itu bekerja menerusi perkongsian momen satu pentas di konsert Hitam Manis kelak.
“Saya tak sabar juga untuk beraksi di konsert ini sebab alan menyanyikan lagu yang tak pernah saya bawakan sebelum ini bersama mereka. Kalau boleh nak juga nyanyikan 10 lagu tetapi kita lihat bagaimana nanti.
“Kami sama-sama masih berbincang mengenai lagu apa yang akan dibawa. Hazama pun banyak melontarkan idea. Dari segi vokal dan latihan tiada masalah. Saya memang dah bersedia dan akan gilap lagi menjelang konsert bakal berlangsung,”ujarnya.
Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama dua jam dan akan mempersembahkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet dan gabungan eksklusif antara Hattan, Hazama dan Black.
Selain itu, konsert ini turut menawarkan pelbagai segmen menarik termasuk tribute untuk Allahyarham penyanyi Jay Jay.
Untuk tiket konsert ini, peminat boleh melayari www.ticket2u.com. Tiket sudah dijual sejak 4 Oktober lalu.-UTUSAN