KOTA BHARU: Sepasang suami isteri hanya mampu berputih mata apabila rugi RM13,100 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan yang kononnya berminat menempah katering, cenderahati dan khemah dengan mereka, minggu lalu.
Nik Roslina Raja Ismail, 43, dan suaminya, Nik Hassanuddin Nik Harun, 44, tertipu selepas menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang berminat membuat tempahan katering makan malam untuk 100 orang dengan bajet RM50 seorang dengan kedai makan mereka.
Katanya, lelaki itu turut memberikan surat sebut harga dengan kepala surat sebuah kementerian dengan mengatakan tempahan itu sah.
“Semasa hari sepatutnya majlis tersebut berlangsung, lelaki terbabit memaklumkan bahawa program itu ditunda ke 15 Disember. Kira-kira pukul 4 pada hari majlis yang kedua yang sepatutnya program tersebut diadakan, lelaki itu meminta saya menyediakan cenderahati (doorgift) untuk 100 tetamu dan memberikan nombor telefon seorang pembekal barangan terbabit di Rantau Panjang.
“Pembekal itu kemudian meminta saya membayar sebanyak RM9,800 dengan setiap satu cenderahati berharga RM98 kepada satu akaun bank. Dia memaklumkan bahawa bayaran semula akan diberikan selepas ini,” katanya di sini hari ini.
Nik Roslina memberitahu, dia yang ketika itu tidak berfikir panjang terus membuat pembayaran kepada nombor akaun tersebut.
Menurutnya, lelaki itu kemudian menghubunginya semula sebelum meminta tambahan 50 kotak lagi cenderahati dengan setiap satunya bernilai RM280.
“Curiga dengan permintaan kedua itu, suami saya terus membuat semakan dengan pejabat kementerian itu di Kelantan sebelum mendapati majlis tersebut tidak wujud. Kami sebelum ini pernah berurusan dengan kementerian lain dan tidak menyangka ditipu kali ini. Saya sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung kejadian itu,” katanya. – UTUSAN