PENDANG: Tiga maut termasuk seorang pelajar sekolah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Alor Pudak, Titi Deris di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu mengorbankan suami isteri berusia 52 dan 34 tahun.
Katanya, ketiga-tiga mangsa termasuk remaja berusia 14 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta terbabit yang bergerak dari Ayer Hitam menghala ke Sungai Tiang, di sini.
“Apabila tiba di tempat kejadian remaja tersebut yang menunggang motosikalnya memotong di sebelah kanan jalan lalu bertembung dengan motosikal yang dinaiki oleh suami isteri itu dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran, suami isteri tercampak ke lorong kanan dan dilanggar oleh kereta berkenaan yang sedang bergerak lurus. Kesemua penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta itu tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada muka, kepala dan kaki,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.