Stacy tidak sindir sesiapa, sudah lama masukkan elemen Sabah dalam karya - Utusan Malaysia

Stacy tidak sindir sesiapa, sudah lama masukkan elemen Sabah dalam karya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Stacy, berharap tiada pihak yang membuat andaian melulu mengaitkan video muzik lagu terbaharunya, Menyala untuk tujuan balas dendam.

Tegas Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, lagu Menyala ciptaannya sudah dihasilkan lebih awal sebelum penarikan diri daripada Konsert A Night With Sumandak Star sebelum ini.

“Sebenarnya lagu itu sudah lama dibuat iaitu selepas selesai menjayakan program The Hardest Singing Show sekitar Julai lalu.

“Jadi memang tiada kena mengena dengan apa yang berlaku sekarang. Terpulang kepada fahaman mereka sendiri untuk mentafsirnya.

“Jika itu yang mereka ingin lihat bergerakan cerita sebegitu, terpulang kerana ini kan industri hiburan,” katanya.

Stacy ditemui Utusan Malaysia ketika majlis sidang media video muzik Menyala di Puchong, pada Khamis.

Tiada niat menunjukkan siapa paling ‘Sumandak’, Stacy menegaskan dia sudah pun membawakan unsur etnik dan budaya masyarakat Sabah dalam karyanya sejak menceburkan diri ke dalam industri beberapa tahun lalu.

“Sejak dahulu lagi saya sudah memasukkan elemen Sabah dalam lagu. Bukan sekarang baru baru saya melakukannya. Sekiranya boleh diingatkan semula sejak dahulu lagi saya sudah memasukkan lirik lagu ‘kenapa bah kau berubah’ dalam lagu Pakai Buang.

“Bukankah ‘bah’ itu dialek orang Sabah jika mereka bertutur. Begitu juga dengan lagu Kasanova di mana pula saya masukkan elemen tarian Sumazau dalam lagu itu. Jadi seperti saya katakan tadi, saya memang sudah lama mengetengahkan budaya Sabah dalam lagu,” katanya.

Enggan terus memperkatakan salah faham yang berlalu berkenaan A Night With Sumandak Star, Stacy mendedahkan sedang dalam perancangan untuk mengadakan konsert solo pertamanya pada tahun hadapan.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada mereka tentang penganjuran konsert solo ini. Jadi, konsert solo ini juga salah satu sebab mengapa saya tidak bersama mereka dalam konsert itu.

“Bagi saya perkara ini hanya hal kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mungkin kerana melibatkan beberapa pihak, jadi khalayak merasakan penarikan diri saya itu perkara yang besar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, lagu Menyala merupakan adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Bunga Cantik hasil kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records dan Rhythm & Rhyme Entertainment.

Menariknya, Stacy turut mengundang nenek moyangnya di Sabah yang masih hidup untuk turut terlibat dalam penggambaran video muzik Menyala yang kini boleh ditonton menerusi Youtube. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya