SPM 2024: Kenapa perlu ada sesi kedua kalau boleh satu sesi sahaja? - Fadhlina

SPM 2024: Kenapa perlu ada sesi kedua kalau boleh satu sesi sahaja? – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tiada keperluan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Menegaskan perkara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini peperiksaan tersebut berjalan lancar dan beliau berpuas hati dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) menerusi Op Payung yang diaktifkan.

“Kenapa perlu ada sesi kedua kalau kita boleh (buat) satu sesi sahaja? Semalam saya sudah tegaskan dalam Dewan Rakyat bahawa persiapan kita melalui banjir ini adalah di bawah Op Payung yang diaktifkan setiap tahun apabila berhadapan dengan isu banjir dan ia adalah kekuatan jentera agensi kerajaan sepenuhnya untuk melaksanakan semua tugasan dan SOP semasa banjir.

“Setakat hari ini kita berpuas hati dengan pelaksanaan selepas fasa utama pemindahan dan fasa kedua pembugaran emosi dan daripada hari pertama sehingga hari ini hari kedua, anak-anak kita telah menghadapi peperiksaan ujian lisan dengan sangat baik.

“Jadi tidak timbul soal sidang kedua kerana kita boleh susun setakat ini dengan keadaan (semasa) dan juga situasi serta keupayaan pegawai-pegawai dan agensi-agensi kita untuk memastikan agar semua berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Gamuda Cove dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gamuda Cove di sini hari ini.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin supaya kerajaan mengadakan sesi kedua peperiksaan SPM supaya calon yang terjejas banjir boleh mendudukinya selepas keadaan reda.

Mohd Radzi yang juga ahli Parlimen Putrajaya dilaporkan berkata, pendekatan tersebut tidak mustahil dilaksanakan ekoran pernah dibuat ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan banjir pada 2022.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementerian kini sedang menumpukan perhatian terhadap persediaan untuk menghadapi jangkaan gelombang kedua banjir.

“Kita akan tumpukan perhatian kepada (jangkaan) itu kerana kita masih lagi dalam musim peperiksaan untuk Ujian Amali Sains dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris,” katanya.

Semalam, media melaporkan kehadiran calon SPM pada hari pertama Ujian Bertutur Bahasa Melayu di seluruh negara adalah 99 peratus.

Dalam perkembangan berlainan, Fadhlina berkata, KPM sedia mempertimbangkan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) untuk mengurangkan syarat permohonan untuk pertukaran guru.

“Pertimbangan itu sentiasa ada. Sebab itu dalam jawapan-jawapan kita di Parlimen, penegasan-penegasan kita, isu kebajikan guru itu menjadi keutamaan kita.

“Jadi pertimbangan yang disebut oleh NUTP itu adalah selari dengan apa yang sedang kita laksanakan sekarang dalam polisi dan dasar kita khusus berkaitan dengan isu tersebut,” katanya.

Sebelum ini, NUTP menggesa supaya KPM mempertimbangkan pengurangan tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan sebagai syarat memohon pertukaran guru seperti ditetapkan sebelum ini bagi mengelak kisah Cikgu Din berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya