SEREMBAN: Kejayaan Muhammad Azfar Fathi Sa’adon dan Shamsul Aiman Mu’amar Shamsul Bahrin yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen kali ke-22 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam, didorong oleh sokongan padu keluarganya.
Lebih istimewa, anugerah tersebut disampaikan oleh Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Graduan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Muhammad Azfar Fathi, 24 berkata, anugerah itu adalah hasil kesungguhan dan ketabahan menempuh cabaran bergelar pelajar USIM serta restu dan sokongan tanpa henti daripada ibu, datuk dan neneknya.
“Sejujurnya kejayaan yang dicapai hari bukan mudah kerana banyak ranjau dan cabaran terpaksa dilalui.
“Sepanjang tempoh saya belajar ini bukan perkara mudah kena banyak berkorban dan usaha kenalah betul. Walaupun perjalanan sukar mana sekalipun keluargalah yang jadi pegangan utama disamping pensyarah fakulti yang banyak beri sokongan serta tunjuk ajar.
“Tidak dilupakan yang paling penting restu dan doa nenek serta mak saya,” katanya ketika ditemui.
Katanya yang merupakan anak tunggal, dilahirkan dalam keluarga bukan senang antara dorongan yang telah memotivasikan dirinya untuk terus berjuang mencapai kejayaan dalam pelajaran.
“Saya berpegang juga kepada pesan nenek walaupun sedih sekalipun kena belajar bersungguh-sungguh kerana apabila berjaya nanti ia akan beri kegembiraan dalam hidup. Nenek saya memang mengharapkan saya berjaya,” katanya yang dibesarkan datuk dan neneknya di Rompin.
Sementara itu, Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam
Shamsul Aiman Mu’amar, 24, pula berkata, awalnya dia bukan seorang pelajar cemerlang, namun kerana semangat ingin mengubah diri Allah SWT memberikannya rezeki tidak disangka.
“Saya cabar diri saya untuk menjadi seseorang yang berbeza daripada dulu. Saya juga ingat pesan cikgu supaya kita kena jadi ‘gila’ tapi gila dalam ilmu,” katanya.
Dia yang berasal dari Gong Badak, Terengganu berkata, kejayaan yang diperolehi didedikasikan kepada ibu dan bapanya sebagai hadiah kerana mengizinkan dia aktif beraktiviti serta bermasyarakat di kampus.
“Ketika pengajian saya jarang balik kampung, sampaikan satu tahap ibu kata dia wakafkan saya kepada masyarakat asalkan perbuatan diredha Allah,”katanya yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2022-2023.
Sebagai perancangan masa depan katanya, dia akan meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Bahasa Arab.-UTUSAN