Skandal rasuah ADUN: Integriti pemimpin GRS dipersoal - Suhaimi 

Skandal rasuah ADUN: Integriti pemimpin GRS dipersoal – Suhaimi 

SUHAIMI NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menjadi satu tamparan hebat kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, tidak wajar bagi seorang Ketua Menteri yang terpalit dengan skandal besar untuk terus memegang jawatan. 

Menurut beliau, perkara yang didedahkan kepada umum bukan soal politik semata-mata, tetapi soal integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat yang telah memberikan mandat kepada beliau untuk menerajui kepimpinan negeri.

Katanya, sebagai Ketua Menteri, kuasa yang dipegang oleh Datuk Seri Hajiji Noor sangat besar. Namun kuasa itu seolah-olah digunakan untuk kepentingan sendiri dan kelompok kecil dan bukannya untuk rakyat. 

“Apabila isu rasuah seperti ini timbul, bagaimana rakyat boleh yakin bahawa beliau akan bertindak adil. Hajiji masih memegang jawatan Ketua Menteri. 

“Ini bermakna beliau boleh menggunakan kuasa itu untuk mempengaruhi siasatan, menyembunyikan dokumen atau melindungi pihak tertentu yang mungkin terlibat. Ini bukan sekadar tuduhan tetapi, persoalan besar tentang integriti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, rakaman video membabitkan ADUN Sabah itu bukan hanya melibatkan seorang pemimpin tetapi empat pemimpin bertaraf menteri serta lima pembantu menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, isu yang berlaku bukan hanya melibatkan individu tetapi kepimpinan sebuah gabungan yang kini memerintah Sabah. 

“Gabungan ini berada dalam keadaan yang sangat rapuh kerana terlalu ramai pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan isu rasuah.

“Bagaimana rakyat Sabah boleh percaya kepada sebuah kerajaan yang kelihatannya hanya sibuk memperkayakan diri, sedangkan rakyat terus menderita. Cuba kita renungkan anak-anak di pedalaman Sabah masih belajar di sekolah yang serba daif, tiada bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

“Hakikatnya, selagi Hajiji dan pemimpin GRS yang terkait dakwaan rasuah memegang jawatan, kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri Sabah akan terus musnah. Rakyat tidak akan yakin kepada sistem perundangan jika individu yang sedang disiasat masih memegang kuasa,” katanya.

Jelas beliau, situasi yang berlaku bukan soal pengakuan bersalah, tetapi soal tanggungjawab moral kepada rakyat Sabah. Mereka tidak akan berdiam melihat pemimpin yang mereka percayai mengkhianati mandat yang diberikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya