Sekolah Kebangsaan (LKTP) Ulu Jempol, Maran mencatat sejarah tersendiri dalam mengembangkan bakat terpendam murid dengan menerbitkan buku cerita berilustrasi karya murid.
Buku bertajuk CERDAS V hasil singkatan kepada CERita DAn Seni Visual merupakan sebuah buku cerita bergambar untuk bacaan murid sekolah rendah.
Pembangunan bakat murid adalah inisiatif Unit Kokurikulum dengan sokongan padu pentadbiran sekolah untuk mencungkil dan menonjolkan bakat murid yang pelbagai secara holistik.
Ketua Projek dan Editor, Mohamad Yazid Roslan berkata, idea untuk menerbitkan buku itu setelah melihat bakat luar biasa mengarang cerita pelbagai subjek sambil melukis mengikut tema yang harus di dokumentasi untuk bacaan umum.
Projek ini diketuai Mohamad Yazid yang guru penolong kanan kokurikulum yang pernah terlibat dalam aktiviti perbukuan dan dokumen Kementerian Pendidikan.
Menurutnya, pengalaman menghasilkan modul Bahagian Pembangunan Kurikulum ( BPK), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ( MBKM) dan buku-buku terbitan luar memudahkan usaha menerbitkan buku ini.
CERDAS V 2024 merupakan hasil karya fiksyen 16 murid berumur antara 10 hingga 12 tahun yang menyerlahkan bakat masing-masing dalam bidang penulisan dan lukisan watak dalam karya. –UTUSAN