PETALING JAYA: Situasi banjir di sembilan negeri terus bertambah buruk susulan mangsa kini mencecah 149,606 orang daripada 44,795 keluarga.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa ditempatkan di 698 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 7.30 pagi tadi.
Dalam pada itu, Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas dengan 95,783 mangsa daripada 29,640 keluarga dipindahkan ke 283 PPS di 10 daerah.
“Di Terengganu, banjir yang melanda lapan daerah menybabkan 42,179 mangsa daripada 11,648 keluarga dipindahkan ke 313 PPS.
“Kedah turut menyaksikan peningkatan mendadak dengan 7,954 mangsa daripada 2,440 keluarga ditempatkan di 52 PPS di tujuh daerah.
“Di Negeri Sembilan, 1,925 mangsa daripada 540 keluarga dipindahkan ke 13 PPS di tiga daerah, katanya.
Sementara itu, di Johor, 588 mangsa daripada 174 keluarga ditempatkan di 14 PPS di dua daerah, manakala di Pahang, 405 mangsa daripada 134 keluarga kini berada di 15 PPS.
Banjir di Perlis menunjukkan sedikit pengurangan dengan 363 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di dua PPS di dua daerah.
Di Selangor, hanya satu PPS dibuka untuk 102 mangsa daripada 32 keluarga, manakala di Melaka, lima PPS menempatkan 307 mangsa daripada 74 keluarga di tiga daerah.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan dengan rapi, dan penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pemindahan demi keselamatan. – UTUSAN