Sinonim Dayang Nurfaizah dan lagu 'kahwin'

Sinonim Dayang Nurfaizah dan lagu ‘kahwin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Begitu ramai artis tempatan saling berlumba menghasilkan lagu-lagu bernuansa cinta dengan isi dan makna indah menghiasi bait-bait seni kata, membungkus lagu itu sebagai sebuah naskhah yang enak dijamu sebagai halwa telinga para pendengar.

Tetapi, tidak semua daripada lagu-lagu cinta yang ada, sesuai dihidangkan dalam sebuah majlis perkahwinan yang mana kebiasaannya, sesebuah lagu yang menghiasi latar majlis seperti itu turut menggambarkan perasaan cinta antara kedua-dua mempelai.

Pun begitu, rata-rata pasti bersetuju bahawa Dayang Nurfaizah merupakan satu daripada ribuan penyanyi tanah air yang berjaya menarik minat ramai pasangan mempelai memilih lagu cinta daripada mana-mana single yang pernah dihasilkan untuk dijadikan sebagai lagu tema majlis perkahwinan mereka.

Hal ini turut diakui Dayang sendiri saat Hits bertemu dengannya baru-baru ini.

Kata anak kelahiran Sarawak ini, dia juga tidak pasti dari mana bermulanya hal itu namun sedar, lagu-lagu nyanyiannya sering menjadi pilihan pasangan pengantin di majlis perkahwinan.

“Kalau ditanya, saya juga pelik bagaimana begitu ramai menyukai lagu-lagu saya yang kemudiannya dijadikan sebagai lagu tema perkahwinan mereka. Rasa terharu sudah tentu, itu tidak dapat dinafikan.

“Saya juga secara peribadi rasa bersyukur kerana selalu mendapat jemputan untuk menyanyi di majlis perkahwinan sekali gus meraikan pasangan pengantin.

“Saya anggap itu rezeki. Itu sahaja. Orang kata, selagi ada peminat yang dengar, selagi ada jemputan, saya okey sahaja untuk menyanyikan lagu cinta pilihan mereka,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, kata Dayang, disebabkan sering menerima undangan untuk menghiburkan tetamu dan pasangan pengantin di majlis perkahwinan, ia juga menjadi punca mengapa album baharu, Janji dimuatkan dengan lagu-lagu bernuansa cinta.

“Sebenarnya, masa saya jumpa Audi Mok, kebetulannya lagu-lagu yang dia banyak hasilkan adalah begitu. Saya tak terfikir pun untuk sengaja buat lagu cinta sahaja.

“Tetapi, memandangkan saya sendiri pun selalu dapat jemputan ke majlis perkahwinan untuk menyanyi, jadi mengapa tidak bukan untuk saya nyanyikan lagu berkonsep cinta dan perkahwinan untuk pasangan mempelai.

“Kalau tidak sekarang ini asyik Lelaki Teragung, malah lagu Di Pintu Syurga pun orang selalu minta untuk saya nyanyikan di majlis kahwin,”katanya.

TEPATI CITARASA
Kata Dayang, Janji menepati citarasanya dalam memberi satu kepuasan baharu buat peminat dan pendengar yang dahagakan lagu-lagu cinta darinya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah Esok Lusa Selamanya, Di Akhir Dunia, Tak Mahu Berpisah, Tulus, Janji, Dunia Lain, Mungkin Ke? Lemah, Aku, Akhirnya Bahagia dan Tetap Di Sini.

Tidak cuma itu, kata penyanyi dengan nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini turut mengakui bahawa album itu adalah bukti dedikasi dan semangat juangnya terhadap seni muzik selama 25 tahun ini.

“Pembikinan album Janji ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Namun, disebabkan saya perlu siapkan projek album Belagu 2, terpaksa proses pembikinan album ini ditangguhkan.

“Saya perlu beri fokus terhadap Belagu 2 kerana penjiwaan lagu berbeza kerana berkonsepkan tradisional,” katanya.

Selain itu, Dayang turut menyusun semula lagu debutnya, Hakikat Cinta yang pernah melonjakkan namanya pada 1999.

Versi baru yang dihasilkan oleh Genervie Kam ini membawa dimensi segar dengan sentuhan moden tanpa menghilangkan keaslian yang ada pada lagu tersebut.

“Lagu ini penting untuk saya. Ia mengingatkan saya pada permulaan perjalanan yang penuh cabaran, dan bagaimana saya telah berkembang sebagai seorang artis dan individu,” katanya

Dalam pada itu, ketika mengaitkan antara lagu cinta nyanyiannya dengan jodoh diri sendiri, Dayang mengakui tidak pernah menolak mana-mana lelaki yang ingin mengenali atau mendekati.

Masih solo, Dayang berkata, dia tidak pernah berhenti untuk percaya bahawa cinta sejati akan hadir buatnya suatu hari nanti berkat kesabarannya menanti selama ini.

“Semua orang ada perasaan mencintai dan dicintai. Saya juga ada perasaan sama. Andai ditakdirkan jodoh saya tiba ketika usia emas pun, saya sanggup terima.

“Tapi, biar perasaan itu datang dari hati yang luhur dan ikhlas dan bukan kerana tekanan atau desakan sesiapa,” katanya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN