Sindiket Thailand jadikan Malaysia transit dadah

Sindiket Thailand jadikan Malaysia transit dadah

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am melakukan rondaan rutin menerusi Op Wawasan Kelantan di salah satu pangkalan haram yang terdapat di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGKHLA, THAILAND: Malaysia dipercayai dijadikan sebagai transit oleh sindiket dari Thailand untuk menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara lain khususnya Australia dan negara Eropah.

Sindiket terbabit yang memproses dan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu itu dihasilkan di kawasan utara Thailand sebelum dibawa ke selatan negara itu.

Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang mendedahkan, selepas memproses dadah itu, ahli sindiket akan menghantar barang terlarang tersebut merentasi Sungai Golok untuk memasuki Malaysia.

“Berdasarkan risikan pihak kami, tiada makmal yang memproses methamphetamine di wilayah selatan Thailand, sebaliknya semua dadah itu diproses di utara Thailand dan akan transit di Malaysia sebelum diseludup ke Australia dan Eropah.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, syabu mendapat permintaan di negara berke­naan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Justeru, Paisan berkata, semua anggota tentera yang berkawal di sempadan Malaysia-Thailand, diarah sentiasa menjalankan pemantauan di sempadan terutama Sungai Golok.

Katanya, langkah tersebut bagi mengelakkan pergerakan sindiket itu memasuki Malaysia.

“Kita juga bimbang jika pelancong dari Thailand turut terbabit dengan sindiket pengedaran dadah merentasi Sungai Golok untuk masuk ke Malaysia itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelbagai langkah proaktif telah diambil untuk menangani isu keselamatan termasuk kawalan sempadan lebih ketat.

Di mana, pihak keselamatan Thailand juga sentiasa memastikan kawasan sempadan terkawal bagi mencegah penyeludupan senjata dan bahan letupan dari negara jiran.

“Kami turut menekankan pemantauan kawasan pergunungan dan hutan untuk mengesan tempat persembunyian serta mengehadkan ruang gerak pelaku keganasan.

“Selain itu, pasukan pe­ninjau pelbagai fungsi tentera Thailand turut ditugaskan untuk mengekang kegiatan keganasan di kampung-kampung.

“Kolaborasi erat dengan ke­tua kampung dan masyarakat setempat turut dilakukan bagi memastikan usaha ini berjalan lancar tanpa salah faham.

“Pasukan operasi hal ehwal awam turut memainkan pera­nan penting dalam membina kepercayaan masyarakat menerusi penyelesaian konflik dan pemahaman politik,” katanya.

Tegasnya, kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Malaysia terus diperkukuh­kan di garis sempadan.

Malah hubungan dan kerjasama pihak berkuasa Malaysia-Thailand juga pada tahap terbaik dalam usaha mengawal keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara se­ring mengadakan perbincangan dan forum berkaitan isu-isu keselamatan termasuk jenayah rentas sempadan se­perti penyeludupan, ancaman keganasan, ideologi dan sebagainya.

“Pihak berkuasa Thailand menerusi Pejabat Koordinasi Hubungan Thailand-Malaysia (TMCBO) dan Pejabat Hubu­ngan Sempadan Malaysia-Thailand (MTCBO) sentiasa berbincang mengenai pelbagai isu di sempadan.

“Pihak tentera darat dan tentera Thailand juga bekerjasama de­ngan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Wilayah Sempadan contohnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya