Sindiket seludup rokok minuman keras RM1.6 juta tumpas

Sindiket seludup rokok, minuman keras RM1.6 juta tumpas

MOHD Asri Seman menunjukkan barang rampasan rokok dan minuman keras dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Daerah Temerloh, Pahang. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.6 juta dalam tiga serbuan di Johor dan Selangor, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Pahang, Mohd Asri Seman berkata, dalam operasi pertama pada pukul 11.15 malam 3 Disember lalu, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Temerloh menyerbu sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor yang dijadikan stor menyimpan rokok putih dan kretek.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 449,400 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM49,340 dengan cukai atau duti berjumlah RM 301,538.

“Rumah yang dipercayai disewa itu didapati tiada individu menjaganya dan kami sedang mengesan siapa pemilik kediaman itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Daerah Temerloh dekat Mentakab, di sini hari ini.

Mohd Asri berkata, dalam kes kedua, Kastam menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire membawa muatan rokok putih dan kretek di kawasan parkir berdekatan satu taman perumahan di Tebrau, Johor pada 10 Disember lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan kira-kira pukul 4.20 petang itu mendapati terdapat barang larangan iaitu 380,800 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM55,856 dengan nilai duti RM256,913.60.

“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah MPV dan rokok termasuk cukainya dianggarkan RM462,769.60. Bagaimanapun tiada tangkapan dapat dilakukan kerana pemandu MPV terbabit dipercayai melarikan diri ketika pasukan menghampiri kenderaan tersebut.

“Kenderaan MPV itu juga didapati menggunakan dua nombor pendaftaran palsu kenderaan mewah yang boleh ditukar secara automatik bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa. Siasatan sedang dilakukan sama ada kenderaan terbabit dicuri atau berdaftar,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket terlibat ialah mereka dipercayai mengangkut rokok seludup menggunakan kenderaan mewah untuk diedarkan sekitar Johor bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa. Kedua-dua kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Mohd Asri berkata, bagi kes ketiga, Kastam dengan kerjasama Unit Kawalan Kontena (CCU) Selangor  menyita sebuah kontena dengan muatan minuman keras di Pelabuhan Utara Klang, Selangor.

Beliau berkata, dalam Op Pagar yang dilakukan pada pukul 11.30 pagi 12 Disember lalu itu, pihaknya mendapati kontena yang dipercayai dari Asia Timur  telah dibawa masuk dengan ikrar sebagai kertas hiasan dinding.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu berisi 26,400 liter atau 52,800 tin minuman keras jenis bir yang disyaki tidak mempunyai permit import dianggarkan bernilai RM60,693.60 dengan duti sebanyak RM 891,208.56.

“Modus operandi kes ini ialah pengimport membuat pengikraran tidak benar terhadap dagangan dalam borang pengikraran untuk pengimportan,” katanya.

Katanya tiada tangkapan dilakukan tetapi pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut terhadap syarikat yang melakukan ikrar dalam borang berkenaan. Menurutnya kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya