KLANG: Sindiket penyeludupan rokok menyasarkan rumah teres terbiar dan tidak bertuan dalam taman perumahan untuk menyembunyikan barangan itu bagi mengelak daripada dihidu pihak berkuasa sebelum dijual di pasaran tempatan.
Bagaimanapun, taktik licik itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Dua Selangor yang menyerbu tiga premis di Kajang, Hulu Langat dan Bandar Sri Damansara pada 22, 24 Oktober serta 8 November lalu.
Serbuan itu membawa kepada rampasan sebanyak 728,972 batang rokok putih dan kretek yang bernilai RM608,803 termasuk cukai.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya berkaitan aktiviti penyeludupan tersebut dan serbuan pertama melibatkan sebuah rumah kedai di Hulu Langat dengan sitaan sebanyak 90,000 batang rokok.
“Kemudian, kita turut menyerbu dua buah rumah tidak berpenghuni di Kajang dan Bandar Sri Damansara yang membawa penemuan lebih 638,000 rokok.
“Kesemua nilai rampasan dianggarkan RM124,129 dengan duti terlibat berjumlah RM484,674,” katanya pada sidang akhbar, semalam.
Tambah Norlela, siasatan mendapati kes itu melibatkan tiga sindiket berasingan dan usaha mengesan pihak berkenaan masih giat dijalankan.
“Semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang larangan atau tidak berkastam. Sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.-UTUSAN