Sindiket judi dalam talian didalangi warga China - Utusan Malaysia

Sindiket judi dalam talian didalangi warga China

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menumpaskan sindiket penipuan judi dalam talian yang didalangi warga China selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan aktiviti itu di Sunway City di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, seramai enam individu termasuk tiga wanita warga China berusia 29 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan pada pukul 2 petang.

Katanya, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas dua unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, satu unit tablet, satu unit modem Wifi dan sebuah kereta BMW.

“Kesemua suspek yang ditangkap ini disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian yang menyasarkan mangsa dari luar negara terutama negara China.

“Ahli sindiket yang ditangkap berperanan sebagai pengendali pusat panggilan, penyelia, penjaga akaun dan pegawai khidmat pelanggan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi Telegram dan laman sesawang yang diwujudkan khas untuk mempromosikan iklan tambah nilai bagi aktiviti perjudian.

Katanya, sindiket tersebut didapati aktif menjalankan kegiatan tersebut di kawasan perumahan berpagar itu sejak bulan lalu.

“Dalam kegiatan ini, urusniaga pembayaran pelanggan dibuat menerusi platform pertukaran matawang kripto USDT daripada matawang Renminbi (RMB),” katanya.

Tambah beliau, kesemua individu tersebut direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Jumaat depan untuk siasatan di bawah Seskyen 120B dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya