SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan taktik dilakukan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang kini lebih berani iaitu dengan tidak lagi menyorokkan bahan larangan tersebut untuk diseludup masuk ke negara ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapa berkata, hasil beberapa kes yang dikesan pihaknya kebelakangan ini termasuk dua kes terbaharu pada bulan lalu mendapati, sindiket tanpa rasa takut telah hanya meletakkan bungkusan dadah di dalam kotak tanpa disembunyikan dalam ruang khas seperti kebiasaan dalam kes sebelum ini.
“Taktik mereka mudah sahaja iaitu hanya masukkan bungkusan plastik dadah ke dalam kotak, selamba sahaja tanpa takut dan segan silu ia diimport masuk ke negara ini, tiada ruang rahsia digunakan seperti sebelum ini.
“Tanpa sorok-sorok mereka hanya letakkan di dalam kotak, saya tidak boleh katakan ini kaedah terbaharu kerana masih ada sindiket yang masih cuba menyeludup masuk dadah menggunakan ruang rahsia namun saya percaya taktik ini adalah untuk cuba mengaburi mata pihak berkuasa kerana sekiranya mereka menyorokkan di ruang rahsia mereka akan berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
Sementara itu, Raizam memaklumkan, JKDM berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa melibatkan rampasan dadah seberat 233.144 kilogram bernilai hampir RM546,000 menerusi tiga kes berasingan pada bulan lalu dan awal bulan ini.
Menurut beliau, bagi kes pertama iaitu pada 25 November, Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita satu dagangan di sebuah gudang syarikat logistik di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Sepang, Selangor.
“Hasil pemeriksaan ke atas lapan kotak tersebut menjumpai sejumlah bungkusan berisi leraian tumbuhan berwarna hijau disyaki dadah berbahaya jenis daun khat mengandungi cathinone dengan berat kasar 217.95 kilogram.
“Modus operandi adalah transit menggunakan perkhidmatan kargo udara dengan dagangan diikrar sebagai herbarabic spices. Dadah tersebut dibawa masuk dari sebuah negara di Afrika untuk pasaran di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, bagi kes kedua pula pada 2 Disember lalu, JKDM telah menyita satu dagangan di sebuah gudang syarikat logistik di lokasi sama dan pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak tersebut telah menjumpai sejumlah tuala mandian berisi bungkusan teh hijau Cina.
“Siasatan awal mengesahkan bungkusan tersebut mengandungi serbuk kristal disyaki methamphetamine dengan anggaran berat kasar 10.194 kilogram dianggarkan bernilai RM326,208.
“Modus operandi sindiket adalah barangan dagangan diikrar sebagai tuala mandian yang akan dihantar ke Australia menggunakan perkhidmatan kurier udara,” tambahnya.
Raizam menambah, bagi kes ketiga pula iaitu pada 27 November lalu, sitaan dibuat terhadap satu dagangan juga melibatkan gudang syarikat logistik di lokasi sama.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak telah menjumpai sejumlah bungkusan plastik lutsinar mengandungi leraian tumbuhan disyaki dadah jenis kanabis seberat lima kilogram dengan nilai dianggarkan RM15,500. Dadah tersebut dibawa masuk dari sebuah negara di Eropah juga untuk pasaran di negara ini.
“Ketiga-tiga kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Hasil siasatan untuk kes pertama dan ketiga mendapati alamat pengimportan tidak wujud begitu juga untuk kes kedua iaitu alamat penghantar didapati tidak wujud,” jelasnya.-UTUSAN