SEPANG: Sindiket curi motosikal kini semakin licik apabila menyasarkan motosikal yang tidak berkunci di bahagian leher.
Itu modus operandi sindiket terbaru didedahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang selepas dua lelaki ditahan pada 13 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, modus operandi yang digunakan kedua-dua suspek adalah dengan mencari motosikal yang tidak berkunci ‘handle’ di sekitar daerah ini.
Beliau berkata, suspek kemudian akan menunda motosikal yang dicuri ke rumah suspek di Jalan Masjid Lama, Kampung Labohan Dagang, Banting sebelum menukar kunci motorsikal yang baharu.
“Kedua-dua suspek akhirnya ditahan Jumaat lalu di Lurah Bilut, Bentong, Pahang susulan satu laporan polis kehilangan motosikal di Kota Warisan, di sini.
“Suspek masing-masing berusia 21 dan 23 tahun itu ditahan menerusi Op Lejang oleh anggota polis dari Balai Polis Lurah Bilut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya turut merampas empat buah motosikal masing-masing tiga buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan dua rangkai kunci motosikal.
Norhizam berkata, semakan rekod mendapati, seorang suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala, seorang lagi suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan dadah.
“Hasil ujian air kencing kedua-dua suspek negatif dadah. Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula 14 Disember hingga hari ini bagi siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian curi motosikal kerana mahu mendapatkan wang bagi kegunaan perbelanjaan harian dan membeli dadah.
“Hasil tangkapan ke atas kedua-dua suspek telah berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal yang dilaporkan berlaku disekitar daerah ini baru-baru ini,” katanya.
Katanya, kes di siasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika
sabit kesalahan. – UTUSAN
habis.